
KUALA LUMPUR - SETELAH sembilan minggu mengharungi pelbagai cabaran dan ujian sepanjang berlangsungnya program Ustazah Pilihan, akhirnya peserta Firuz Akhtar Mohamad Bohari, 27, telah dinobatkan sebagai juara.
Dalam acara kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) , peserta yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya mengatasi saingan tiga orang peserta lain iaitu Masfira Hilman, 27, Nurul Hidayah Kamarudin, 26 dan Siti Fatimah Mohd. Sharif, 26.
Untuk saingan akhir, keempat-empat finalis telah diberikan tugasan iaitu mendekati permasalahan pernikahan sempadan dan markah dinilai berdasarkan 40 peratus markah keseluruhan, 40 peratus menerusi ujian bertulis dan bakinya adalah hujah yang disampaikan pada Raudhah Ustazah Pilihan yang berlangsung pada malam tersebut.
Kemudian, para peserta mengharungi pula tugasan kedua iaitu mengupas tentang topik Muslimah Terhebat di hadapan Mudirah, Dr. Robiah Kulop Hamzah serta dua orang Mursyidah iaitu Prof. Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan.
Bagaimanapun, saingan yang berlangsung turut menimbulkan kejutan apabila dua orang peserta sahaja yang dipilih untuk merebut gelaran juara iaitu Firuz dan Hidayah, manakala Siti dan Masfira pula sekadar berada di kedudukan ketiga dan keempat.
Menurut Firuz, ketika namanya diumumkan sebagai juara Ustazah Pilihan, dia sendiri agak terkejut dan tidak menyangka memandangkan saingan hebat yang turut diberikan oleh tiga peserta yang lain.
“Kalau melihat kepada semua peserta yang bersaing pada peringkat akhir ini, saya berasa sedikit kurang keyakinan memandangkan tidak mempunyai kelebihan berbanding rakan-rakan yang lain.
“Antara keempat-empat peserta pada malam ini, hanya saya seorang sahaja finalis yang tidak memiliki pendidikan formal dalam bidang agama. Namun, saya tetap bersyukur kerana telah dinobatkan sebagai juara,” ujar graduan dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Parsi di Universiti Al-Zahra, Iran.
Ujarnya, antara salah satu sebab dia tertarik untuk menyertai program Ustazah Pilihan yang diterbitkan oleh saluran Astro Oasis ini adalah disebabkan dia memang cukup tertarik dengan rancangan yang berbentuk keagamaan.