MUAR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengisytiharkan Bandar Maharani di sini sebagai Bandar Diraja Johor.
Sultan Johor membuat pengisytiharan tersebut pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Jamek Sultan Ibrahim.
Baginda meminta penduduk di bandar ini sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan sekitar dan tidak semata-mata menyerahkan tugas itu kepada pihak berkuasa termasuk Majlis Perbandaran Muar (MPM).
"Allah amat sukakan kebersihan dan mengasihi orang yang sentiasa mengutamakan kebersihan," titah baginda yang sebelum itu mengetuai perarakan maulidur rasul.
Menurut baginda, walaupun setengah orang menggelar bandar Muar sebagai bandar "pencen' (bandar untuk menikmati persaraan), ia sebenarnya sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.
Baginda turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya tidak mempercayai bulat-bulat maklumat yang disebarkan melalui internet kerana ia belum tentu benar.
Sultan Johor berpesan agar masyarakat Islam sentiasa mengamalkan hidup berlandaskan Islam dan sentiasa menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan mengamalkan suruhannya supaya mereka menjadi insan yang baik dan sentiasa mendapat hidayah daripada Allah.
