Pensyarah NIE-NTU, Dr Norhaida Aman, menerima pengiktirafan bagi Kecemerlangan dalam Pengajaran atas dedikasinya memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar.
SINGAPURA - KEBOLEHAN dan keperluan pelajar, Itulah antara perkara yang dianggap penting oleh pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Norhaida Aman.
'Apabila kita sedar tentang kebolehan dan keperluan mereka, kita boleh sesuaikan pendekatan yang kita ambil dengan setiap pelajar dan yang penting sekali, pembelajaran haruslah seronok.
'Pelajar saya selalunya menganggap kelas tatabahasa bahasa Inggeris itu membosankan, jadi apabila saya berjaya mengubah anggapan itu dan mereka mendapati ia menarik pula, saya rasa sangat puas,' ujar Dr Norhaida, yang telah berkhidmat sepagai pensyarah di NIE-NTU selama 13 tahun.
Dedikasi dan komitmen yang disumbangkannya bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar diiktiraf semalam apabila beliau diberi Anugerah Nanyang bagi Kecemerlangan dalam Pengajaran (Excellence in Teaching) dalam satu majlis di Auditorium Nanyang di NTU.
Selain Dr Norhaida, 17 pensyarah lain daripada universiti itu turut menerima anugerah tersebut.
'Gembira tak terhingga saya rasakan tetapi dengan anugerah ini, tanggungjawab saya lebih berat dan harapan terhadap diri saya juga lebih tinggi.
'Secara tak langsung, ini juga pengiktirafan daripada pelajar kerana pelajar-pelajar tahun akhir yang mengundi kami (untuk menerima anugerah itu) dan ia menjadi pembakar semangat agar saya beri yang lebih baik kepada pelajar-pelajar saya,' kata Dr Norhaida ketika ditemui semalam selepas majlis itu.
Beliau turut disertai ibunya, Cik Kamaria Abdul Ali; suaminya, Encik Abdul Rahman Mohd Abdullah; dan anaknya, Muhammad Nur Iman; yang hadir untuk memberi sokongan dan menyambut gembira pencapaiannya itu.