Mohammad Nizar (dua, kanan) dilihat duduk sebaris bersama Mohd Radzi (tiga, kanan) dan Shaarani (empat, kanan)
IPOH – “Saya hadir bukan dengan niat mengganggu kelancaran program, lagi pula ceramah itu mengalu-alukan orang ramai, tidak terkecuali saya sendiri.”
Demikian ulasan bersahaja yang diberikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kehadirannya dalam satu ceramah anjuran Umno di Tualang Sekah, 13 Mei lalu.
Mengakui kehadirannya menyebabkan orang ramai termasuk pemimpin Umno kawasan itu terkejut, Mohammad Nizar berkata, kunjungannya ke program itu tidak lain, hanya untuk mendengar pendedahan yang dibuat berkaitan dirinya.
“Apa salahnya saya duduk dan dengar sesuatu yang ada kaitan dengan saya, kebetulan ada kerusi kosong di bahagian hadapan pentas, saya pun duduklah,” katanya.
Pada malam 13 Mei lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang yang juga Adun Pasir Panjang itu hadir dalam ceramah anjuran Umno bertajuk ‘Nizar Pembohong Bersiri’.
Turut berada dalam ceramah itu adalah Ketua Penerangan Umno Negeri, Datuk Shaarani Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Kampar, Datuk Mohd Radzi Manan.
Mohammad Nizar berkata, beliau terpanggil untuk hadir ke ceramah itu kerana secara kebetulan sedang menunggu giliran untuk memberi ceramah anjuran Pas Kampar yang diadakan kira-kira 150 meter dari lokasi.
Menurutnya, meskipun ada pihak yang tidak senang dengan kehadirannya dan memintanya beredar, beliau mengambil pendekatan untuk terus dengar dan lihat.
“Pandangan hadirin secara tiba-tiba tertumpu kepada saya, tetapi saya minta penceramah teruskan sesinya yang jelas sedang menghentam diri saya.
“Jika berlaku sebaliknya, saya lagi suka kalau orang Umno hadir ceramah saya, lebih mudah untuk saya sampaikan maklumat,” katanya.