
BANDAR SERI BEGAWAN - Sepasang anak baju berwarna hitam bertulis Surah Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas dan Surah Al-Falaq serta beberapa tulisan/ukiran Hindu dan wafaq berwarna keemasan adalah salah satu daripada tiga benda dipercayai perbuatan sihir yang telah dijumpai seorang pembaca meter elektrik sekitar pukul 8 pagi kelmarin di salah sebuah pejabat syarikat guaman di daerah ini.
Dua lagi benda yang diletakkan bersusun dan sebaris dengan anak baju hitam berkenaan ialah rantai tangkal azimat yang sudah lusuh dan kain ikat kepala berwarna hitam yang juga dipenuhi dengan simbol dan tulisan-tulisan jawi warna keemasan termasuk perkataan "Muhammad" dan "Mikail".
Penemuan itu seolah-olah menjawab fenomena kejadian yang menimpa tiga orang rakan kongsi syarikat guaman terbabit yang mengalami lemah-lemah badan dan rasa malas hendak datang bekerja sehingga menyebabkan ada yang memilih untuk tidak datang ke pejabat dan hanya membuat kerjanya di rumah saja.

Ustaz Abu Qasim dengan penuh berhati-hati memindah tiga benda dipercayai sihir itu ke dalam bekas kosong di tangan kirinya.
Berikutan dengan penemuan berkenaan, salah seorang rakan kongsi syarikat guaman berkenaan telah menghubungi Ustaz Haji Abu Qasim Haji Ismail yang merupakan seorang pengamal dan perawat perubatan Islam Darusysyifa' Warrafahah.
Beliau bersama dengan seorang rakannya telah 'menguruskan' tiga benda dipercayai mengandungi sihir itu, dengan memasukkan ketiga-tiganya ke dalam satu bekas dan kemudiannya dijirus dengan air Yaasin, hasil bacaan 40 orang ahli Darusysyifa' Warrafahah, sambil diiringi dengan bacaan-bacaan zikir tertentu.
Ketika upacara 'pembersihan' sihir itu berlangsung petang semalam, semua yang berada di dalam bilik itu berdiri kaku dan senyap, hanya sekadar menyaksikan perbuatan Ustaz Haji Abu Qasim dan rakannya itu, manakala wartawan media pula lancar menekan punat kameranya merakamkan setiap detik upacara berkenaan.
Setelah selesai dijirus, Ustaz Haji Abu Qasim pun menutup bekas berkenaan dan mencadangkan dua kaedah yang perlu dilakukan ke atas tiga benda ganjil berkenaan iaitu sama ada membakarnya ataupun membuang/menghanyutkannya ke laut lepas.