
PORT DICKSON – Kegembiraan seorang remaja yang datang bercuti di daerah ini bertukar tragedi apabila dia didakwa dicabul seorang pengawal keselamatan di sebuah hotel Batu 6, Jalan Pantai di sini, kelmarin.
Menurut sumber, mangsa berusia 18 tahun dan berasal dari Melaka itu, datang bercuti di Port Dickson bersama kakaknya sejak empat hari lalu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 4 pagi, sewaktu mangsa yang menginap di tingkat lapan hotel berkenaan turun ke lobi untuk membeli minuman di salah satu mesin air di hotel berkenaan.
“Sewaktu mangsa sedang memasukkan duit siling ke dalam mesin air tersebut, duitnya terjatuh lalu mangsa tunduk untuk mengambil duitnya.
“Pada ketika itulah, pengawal keselamatan hotel datang dari arah belakang lalu memeluk mangsa dan meraba buah dadanya.
“Mangsa yang terkejut, lalu menjerit tetapi lelaki itu terus mengeretnya sehingga ke tandas, sebelum mangsa sempat melepaskan diri,” katanya di sini, semalam.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Telok Kemang di sini.
Suspek merupakan warganegara asing berusia 29 tahun ditangkap kira-kira 9 malam pada hari yang sama di hotel berkenaan.
