Dr Fatimah (kanan) memberikan 'Buku Panduan Pengendali Makanan' kepada Encik Haji Sulaiman K. Abdulla, pemilik gerai Aisha Teh Tarik di pusat makanan Eunos Crescent, semalam.
SINGAPURA - SETELAH ditutup selama sembilan bulan, pasar dan pusat makanan di blok 4A di Eunos Crescent dibuka semula April lalu.
Pasar dan pusat makanan yang menempatkan 110 gerai itu kini bukan sahaja lebih luas, ia juga lebih bersih dan selesa berbanding yang lama.
Semalam, pasar dan pusat makanan yang terletak berdekatan stesen MRT Eunos itu dirasmikan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Profesor Madya Fatimah Lateef.
Di majlis perasmian itu, Dr Fatimah turut meninjau kemudahan baru yang disediakan selain beramah mesra dengan pegerai dan penduduk.
Beliau juga mengambil peluang mengedarkan Buku Panduan Pengendali Makanan kepada setiap pegerai di pusat makanan itu.
Buku yang diterbitkan NEA itu menekankan kepada pegerai tentang kepentingan menjaga kebersihan makanan.
Ketika ditemui media di akhir acara, Dr Fatimah berkata para pegerai harus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kebersihan pasar dan pusat makanan itu sentiasa terpelihara.
"Pasar dan pusat makanan ini kini mempunyai sekitaran yang lebih baik berbanding yang lama. Ia lebih berwarna-warni, berangin dan juga bersih.
"Saya berharap selain peningkatan fizikal pasar ini, para pegerai juga akan meningkatkan cara pemikiran mereka dalam memastikan sekitaran pasar dan pusat makanan ini sentiasa bersih dan terurus dalam tahun-tahun mendatang," kata Dr Fatimah.
Beliau menambah, pasar dan pusat makanan itu juga akan dilengkapi dengan Automated External Defibrillation (AED) - alat yang digunakan bagi tujuan memulihkan denyutan jantung seseorang yang mengalami serangan jantung.
Menurut Dr Fatimah, mesin itu akan diletakkan di sebuah lokasi strategik di dalam pasar agar mudah dicapai sekiranya berlaku kecemasan seperti masalah jantung terhenti.
Beberapa pegerai juga telah menerima latihan dalam memberi bantuan kecemasan dan penggunaan AED.