Majlis menandatangani Kontrak Sistem Pengurusan Haji bagi Jabatan Urusan Haji yang berlangsung kelmarin sambil disaksikan Menteri Hal Ehwal Agama Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad
BANDAR SERI BEGAWAN - Pemohon bakal jemaah haji akan dapat membuat permohonan melalui Internet pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja apabila projek sistem pengurusan haji yang menggunakan penyerapan teknologi maklumat bagi membantu mempercepatkan pengendalian tugasan harian dijangka beroperasi sepenuhnya pada Februari 2013.
Projek ini merupakan salah satu projek e-kerajaan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi pembangunan, pembekalan, penghantaran, pemasangan, uji-terima, latihan dan pemeliharaan perisian, perkakasan dan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan.
Projek ini akan dilaksanakan oleh syarikat tempatan, Syarikat Shinba-Edaran Sdn Bhd, dengan kerjasama sebuah syarikat dari Malaysia yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan sistem haji.
Majlis penandatanganan projek dimeterai hari ini dan mewakili kementerian ialah Pemangku Pengarah Urusan Haji, Awang Haji Abdul Rajid Haji Mohd Salleh dan Ketua Bahagian Teknologi Maklumat kementerian, Awang Haji Isa Haji Mohd Tahir sebagai saksi sementara Syarikat Shinba-Edaran diwakili Pengarahnya, Encik Md Arif Haji Hassan dan Pengurus Operasi Brunei, Awang Saifuldillah Haji Othman sebagai saksi.
Hadir menyaksikan penandatanganan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.
Awang Haji Abdul Rajid dalam ucapannya berkata, antara fungsi dan tugasan utama sistem ini adalah bagi mengaplikasikan pendaftaran bakal-bakal jemaah haji dan juga pengurusan proses haji seterusnya bagi membolehkan pemohon bakal jemaah haji membuat permohonan secara talian.
Antara matlamat penting dalam mengadakan sistem ini pula ialah untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai melalui pendaftaran haji secara talian dan mempercepatkan proses permohonan haji di samping mendapatkan maklumat pendaftaran yang terkini, lebih tepat dan cepat.