TENGKU ABDULLAH
ANGGOTA Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bijak memilih calon yang akan mengetuai barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu.
Salah pilih, FAM akan kembali dengan cerita lama yang tiada kesudahannya.
Perwakilan seharusnya sudah tahu siapa calon yang dilihat berpotensi untuk menerajui FAM dan sudah membuktikan kredibiliti pada peringkat negeri.
Pengkritik sukan terkenal, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut memberi pandangan serupa khususnya untuk dua jawatan timbalan presiden.
“Dua kerusi timbalan presiden perlulah mempunyai kriteria seperti kemampuan dan pengalaman bagi memantapkan lagi badan induk bola sepak negara.
“Apa yang penting, calon itu perlu realistik dalam membawa perubahan,” katanya.
FAM akan mengadakan Kongres kali yang ke-47 pada 31 Julai ini bagi memilih barisan kepimpinan baru untuk penggal 2010/2014, iaitu seorang presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan lapan anggota eksekutif.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan presiden apabila menang tanpa bertanding selepas
pencalonan ditutup Ahad lepas.
Setakat ini, dua calon yang dilihat paling sesuai ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Malah, dua calon itu dikatakan memiliki kredibiliti berdasarkan sumbangan mereka pada peringkat negeri.