MILIK KAMI... Barisan pemain dan pegawai skuad Selangor meraikan kejayaan muncul juara Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
SELANGOR sah bergelar juara Liga Super 2010 setelah berjaya menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Kedah Selasa ini, barisan Selangor tetap menjulang trofi Liga Super sejurus tamat perlawanan.
Trofi telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad di hadapan kira-kira 20,000 penyokong setia skuad Merah Kuning.
Selepas mengharungi 25 perlawanan, Selangor mengumpul 63 mata, lima mata di hadapan pencabar terdekat mereka, Kelantan yang menang 3-1 ke atas Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Pada aksi malam tadi, permainan seimbang dipertontonkan kedua-dua pasukan yang saling bertukar serangan sepanjang aksi separuh masa pertama tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan.
Sebaik bermula babak kedua, Selangor mula melakukan serangan bertali arus ke kubu pihak lawan.
Sepakan Hardi Jaafar pada minit ke-48 ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli manakala percubaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59 pula diselamatkan di atas garisan gol oleh Zubir Azmi.
Sharbinee terus cemerlang apabila sempat menepis percubaan satu lawan satu dengan Safee Sali yang menerima bola sepakan percuma pantas Amri Yahyah pada minit ke-63.
Namun kekebalan gawang Terengganu akhirnya bocor pada minit ke-66 setelah Amirulhadi berjaya menanduk masuk gol pertama Selangor selepas dia menerima lambungan cantik Safiq Rahim dari sebelah kiri.
Selangor terus selesa apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 setelah Amri dijatuhkan oleh Zubir dan Safiq yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Sharbinee.
Dengan kejayaan mempertahankan trofi Liga Super, status juara itu telah melayakkan Selangor untuk sekali lagi beraksi pada saingan Piala AFC musim depan.