BALAGI terlantar di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam sambil diperhatikan oleh ibunya, Rajasundi.
GEORGE TOWN - Siapa sangka lelaki obes, M. Balagi yang berat badannya mencecah 300 kilogram (kg) rupa-rupanya menyimpan kisah duka yang menjadi punca dia mengalami kegemukan melampau.
Bekas pengawal keselamatan di sebuah hotel di sini itu berkata, gara-gara kecewa selepas diberhentikan kerja kira-kira lima tahun lalu dia mengurungkan diri di dalam rumah dan makan dalam kuantiti yang banyak.
Balagi, 43, atau lebih mesra dengan panggilan Balaji oleh keluarganya, cuba melepaskan tekanan dengan memakan roti sehingga empat bungkus sehari. Jumlah itu menyamai 88 keping roti.
Dia juga suka makan tosai tetapi kurang menjamah nasi manakala minuman kegemarannya ialah kopi panas.
Menceritakan kisah lampaunya Balagi mendakwa dia diberhentikan kerja pada tahun 2005 kerana kerap mengambil cuti sakit.