Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Rabu, 3 April 2013

TUNKU Mahkota Johor letak jawatan Presiden


JOHOR BAHRU - TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa semalam.

Dalam satu kenyataan kepada media, baginda bertitah, keputusannya itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, dan juga hasil perbincangan bersama Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

“Keputusan ini saya buat kerana saya merasakan jika saya memegang jawatan sebagai Presiden dan pada masa yang sama, saya juga adalah TMJ, maka amat sukar untuk saya mentadbir urus PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan FAM.

“Oleh kerana itu, saya membuat keputusan untuk mentadbir PBNJ sebagai Penaung berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini.

“Ini kerana mengikut protokol, saya sebagai TMJ selayaknya memegang jawatan sebagai Penaung dalam PBNJ,” titah baginda.

Titah baginda, menjawat jawatan sebagai Penaung akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta memberi kelebihan kepada dirinya untuk mentadbir urus persatuan dalam pelbagai aspek.

Antaranya, pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan PBNJ dan juga para pemain.

“Di samping itu, saya dapat membuat keputusan yang lebih tepat apabila saya memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam persatuan ini,” titah baginda.

Sehubungan itu, berkuat kuasa semalam, Tunku Ismail mengumumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil dilantik sebagai Presiden PBNJ yang baharu.

“Saya berharap, anda semua dapat memberi sokongan yang penuh kepada beliau dan anda semua tidak perlu risau, kerana saya sentiasa berada di sini bersama anda semua sebagai TMJ,” katanya.

Titah Tunku Ibrahim lagi, baginda akan sentiasa memantau dan mengikuti segala perjalanan dan juga aktiviti bola sepak negeri Johor daripada peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat yang lebih global.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bola sepak negeri Johor di seluruh pelosok tanah air yang mana telah bersusah payah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan bola sepak negeri Johor selama ini.

“Sokongan padu daripada anda semua amatlah saya hargai, dan saya harapkan agar ia berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada bola sepak tanah air,” titah baginda.

Johor DT yang kini sudah mengumpul 19 mata dan Johor FA (22 mata), masing-masing menghuni kedudukan ketiga carta Liga Super dan Premier.(kosmo)

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular