
SEPANG:-- - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap soal keselamatan warganegara Indonesia yang bekerja atau berkunjung ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada masa yang sama turut memberi jaminan pihaknya terus memantau sekiranya berlaku sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab sehingga boleh mengancam keselamatan negara.
"Kita perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab supaya ia tidak menghasilkan tindakan balas. Ia bagi mencegah penularan sesuatu kejadian yang tidak diingini.
"Saya mahu memberitahu warganegara Indonesia yang berada di bumi Malaysia bahawa keselamatan mereka adalah terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan berbuka puasa dengan pegawai Imigresen Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini hari ini.
Beberapa insiden tidak diingini termasuk kejadian membakar Jalur Gemilang dan bendera Indonesia dilaporkan berlaku di kedua-dua negara.
Ketika ini beberapa kumpulan dari Indonesia dilaporkan melancarkan gerakan untuk mengusir rakyat Malaysia dari negara itu.
Sementara itu, dua lelaki Malaysia turut ditahan ketika cuba membakar bendera Indonesia di hadapan pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
