Elie Yousseff Najem hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bagi perbicaraan kes khalwatnya semalam.
KUALA LUMPUR:--- - "Saya bukan Islam, jadi tidak perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah."
Kata-kata tersebut diungkapkan oleh 'hartawan Lebanon' Elie Yousseff Najem dengan nada yang tinggi pada hari ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Mohd. Amran Mat Zain menetapkan 20 Januari tahun depan untuk perbicaraan kes khalwatnya.
Elie yang tidak diwakili peguam syarie melontarkan ungkapan sedemikian setelah tidak berpuas hati kes tersebut akan tetap dibicarakan.
Dia turut meminta Pendakwa Syarie, Hanifah Haydar Ali Tajuddin menarik balik pertuduhan tersebut.
Mohd. Amran yang berang dengan perbuatan tertuduh tersebut telah mengarahkan anggota polis membawa lelaki tersebut keluar dari mahkamah dengan serta-merta.
Terdahulu, lelaki tersebut yang memakai pakaian seragam penjara warna jingga dan menaiki kerusi roda tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan dikawal oleh tiga pegawai Penjara Kajang.
Elie, 50, bersama pasangannya, Roslin Taha, 49, didakwa berkhalwat di sebuah bilik bernombor 8804, Tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields di sini pada pukul 3.45 petang, 27 April lalu.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Hartawan itu yang menimbulkan banyak kontroversi juga pernah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dengan bekas isterinya, Farinnie Mohd. Farid, 24.
Pasangan tersebut yang kini telah disahkan bercerai, dikurniakan dua anak, Prince-Kovadis Yousseff Najem, 3, dan Nur Analeeza Sofya, 2.
Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap Elie setelah didapati bersalah menipu Tan Sim Chai di sebuah premis beralamat B-3-14, Blok B, Megan Avenue 2, Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 19 September 2005.
Elie juga dihukum penjara lima bulan oleh mahkamah yang sama atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosialnya dengan menjadi pengarah sebuah syarikat.