Anwar Ibrahim mengangkat tangan Wan Azizah Wan Ismail diperhatikan Azmin Ali di Kongres Nasional PKR di Petaling Jaya, semalam
KUALA LUMPUR:---- Penasihat DAP, Lim Kit Siang, sudah sah akan diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Kit Siang berperanan membantu tugas-tugas Perdana Menteri yang sudah semestinya akan dipegang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Janji itu dilafazkan oleh Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan pada 26 November lalu (Jumaat) bersempena dengan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh.
Sambil menyatakan keyakinan penuh bahawa pakatan pembangkang akan menguasai Putrajaya dan mengekalkan pemerintahan di empat buah negeri, beliau juga optimis akan merampas kembali Perak sambil menyasarkan empat buah negeri iaitu Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Pakatan pembangkang menjunjung sistem demokrasi, maka orang Cina menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga tidak bercanggah dengan kepentingan kaum Melayu," katanya seperti dipetik daripada wawancara itu.
Tegas Anwar yang juga Ketua Pembangkang, pakatan pembangkang sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum yang dijangka diadakan sebelum Jun tahun hadapan.
Sehubungan itu, katanya, parti-parti dalam pakatan pembangkang sedang giat membincangkan soal pengagihan kerusi dengan 95 peratus pembahagian kerusi yang bakal ditandingi di Sarawak sudah diselesaikan.
Ketika ditanya senario wakil rakyat pembangkang yang memenangi kerusi bertindak melompat keluar parti, Anwar menjelaskan bahawa kredibiliti calon merupakan syarat yang paling diutamakan.
"Pakatan pembangkang terutama PKR akan memilih calon dengan teliti, mungkin akan meminta calon agar menandatangani surat taat setia kepada parti bagi memastikan calon itu tidak akan keluar daripada parti.
"Ahli Jawatankuasa Kabinet Bayangan akan membuat satu pengumuman penting di dalam Perhimpunan Pakatan Rakyat pada 19 Disember depan. Ia termasuk strategi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.
Sementara itu, Anwar juga menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa pakatan pembangkang dibayangi oleh pengaruhnya iaitu tanpanya pakatan pembangkang akan menjadi lemah.
"Ramai orang berkata, PKR ialah Anwar atau pakatan pembangkang adalah Anwar. Ini adalah tidak benar. Saya tidak bersama dengan PKR selama enam tahun dan kini saya juga tidak kerap menyertai mesyuarat PKR kerana menumpukan perhatian terhadap pakatan pembangkang,'' katanya.
Ditanya mengenai hubungan kerjasama antara DAP dan Pas, Anwar mengakui ia lebih baik berbanding dahulu tetapi jalinan tersebut masih dianggap sebagai tidak berapa erat.
Bagaimanapun, katanya, jurang antara Pas dan DAP telah dapat diatasi terutama apabila menyentuh mengenai konflik penubuhan negara Islam.
"Kini kedua-dua parti lebih bersepakat dan memberi tumpuan terhadap isu-isu dalam negara demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Mengenai kemunculan pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai 'kuasa ketiga' yang dikhuatiri memberi impak kepada pembangkang, beliau tidak menolak kebarangkalian itu.
Jelasnya, sekiranya 'kuasa ketiga' itu berpakat dengan BN, ia sedikit sebanyak mampu menjejaskan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya tidak pasti sama ada kuasa ketiga ini berkaitan dengan Datuk Zaid Ibrahim (bekas calon Timbalan Presiden PKR) atau tidak. Ini kerana ia baru sahaja bermula, tetapi saya berpendapat ia mempunyai kemungkinannya.
"Saya masih tidak tahu siapa dalang atau di belakang 'kuasa ketiga' ini. Contohnya, saya tidak tahu siapa penajanya, kuasa mereka, siapa lagi ahlinya dan perbezaan falsafah politik serta pandangan di dalam isu dan polisinya," katanya.