Safee terpilih menjadi duta wangian terbaru produk untuk lelaki keluaran Avon, semalam.
KUALA LUMPUR - PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali boleh mengintip kekuatan pasukan kebangsaan Indonesia apabila dipanggil kelabnya, Pelita Jaya FC bagi perlawanan persahabatan menentang The Real Garuda di Malang, hari ini.
Safee yang mendapat pelepasan daripada latihan pusat Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal semalam bergegas ke Jakarta sebagai persediaan menghadapi perlawanan menentang skuad kendalian Timnas Indonesia, Alfred Riedl itu.
Difahamkan Rieal memanggil pemain dari Liga Super Indonesia (ISL) bersama skuad ini yang diberi nama The Real Garuda sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF, bulan depan.
Kehadiran Safee dalam perlawanan itu secara tidak langsung boleh memberikan maklumat kepada Rajagobal mengenai kekuatan The Real Garuda yang mungkin bakal diturunkan untuk berdepan Malaysia dalam kempen Kumpulan B Piala AFF.
Penyerang berusia 28 tahun itu berkata, biarpun berdepan jadual padat dan terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, apa yang dilakukan itu adalah demi negara.
“Bagi saya ini satu pengorbanan kepada negara. Saya berulang alik dari KL (Kuala Lumpur) dan Jakarta untuk tambah pengalaman kerana dengan pengalaman itu saya dapat membantu skuad kebangsaan. Biarpun penat dan terpaksa mengorbankan masa, demi negara saya sanggup melakukannya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran haruman terbaru Avon-Center Action semalam.