BEKAS pengawal keselamatan, Muhaimi Sautar, 33, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan menyembelih anaknya, Mohamad Adam Muszahffar, 3, dalam kejadian di rumahnya di Kampung Sungai Keladi, 24 Ogos lalu.
KOTA BHARU: Seorang bekas pengawal keselamatan yang menyembelih anaknya sendiri pada Selasa lalu, diperintah menjalani pemeriksaan psikiatrik selepas dihadapkan atas tuduhan melakukan pembunuhan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Bapa kepada tiga anak, Muhaimi Sautar, 33, dituduh menyebabkan kematian anak keduanya, Mohammad Adam Muzhaffar di rumah mereka di 133, Jalan Atas Paloh, Kampung Sungai Budor, pinggir bandar ini kira-kira jam 11.45 pagi hingga 12 tengah hari pada 24 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan, membawa hukuman mati mandatori.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya Timbalan
Pendakwa Raya, Nor Hazimah Ghazali di hadapan Majistret, Mohd Yusoff Yunus.
Muhaimi yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan kesan parut kelar pada lehernya, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung, sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Selepas pertuduhan dibacakan, Nor Hazimah memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan di hospital psikiatrik.
"Kita memohon tertuduh dihantar ke hospital psikiatrik selama sebulan sebelum sebutan semula kes ini," pohonnya sebelum diluluskan Mohd Yusoff yang kemudiannya menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui mati dengan lehernya terkulai dipercayai disembelih bapanya sendiri.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengikut bapanya ke dapur rumah mereka sebelum disembelih menggunakan sebilah pisau.
Kejadian terbabit disedari ibu mangsa sejurus terdengar jeritan anak lelaki tunggalnya itu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa melainkan bergegas mendapatkan bantuan penduduk kampung.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata selepas membunuh anaknya, suspek cuba membunuh diri secara mencederakan leher sendiri menggunakan senjata sama.