JAKARTA:---- Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mempunyai satu penyelesaian bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk, kesesakan jalan raya dan banjir teruk di Jakarta iaitu dengan memindahkan ibu negara ini ke tempat lain.
"Jika kita jujur, objektif, Jakarta sudah tidak ideal lagi," kata beliau yang telah mengerahkan pasukan sehingga ke Kepulauan Borneo untuk mencari tapak baru.
Usul-usul untuk memindahkan ibu negara ini dalam projek yang menelan belanja kira-kira AS$11 bilion (RM34 bilion) sebelum ini gagal direalisasikan dan nasib sama mungkin menimpa cadangan terbaru ini.
Banjir juga kerap berlaku dengan air banjir mencapai paras pinggang menghalang lalu lintas dan menenggelamkan rumah setiap kali musim hujan, malah menyebabkan berpuluh-puluh penduduk mati akibat kejutan elektrik.
Dengan lebih 500 buah kereta dan 1,500 motosikal baru memasuki jalan raya setiap hari, tambahan kepada 6.7 juta buah kenderaan di bandar raya ini sudah cukup menyesakkan jalan raya, trafik bergerak pada kelajuan 10 kilometer sejam.
Ia menyebabkan Jakarta, bandar raya terbesar di dunia yang tidak mempunyai sistem kereta api bawah tanah, mengalami kerugian kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.3 bilion) dari segi masa dan bahan api, kata jurucakap kerajaan, Yopie Hidayat.
Beberapa negara telah memindahkan ibu negara mereka ke tempat lain seperti Brazil, Pakistan, Malaysia, Myanmar dan beberapa negara lain, atas pelbagai sebab sama ada atas faktor politik hinggalah ekonomi.
Presiden pertama, Sukarno menyarankan untuk memindahkan ibu negara republik ini ke Borneo bagi memacu kemajuan di seluruh negara dengan 17,000 buah pulau ini secara sama rata.
Suharto pula mahu Jonggol sebagai ibu negara baru.
Susilo kini menimbangkan kedua-dua lokasi.