Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Jumaat, 3 Disember 2010

Ayah penjara di Medan keluarga menderita

(Foto hiasan)



KUALA LUMPUR: “Hidup saya sekeluarga daif sejak suami ditahan di penjara Medan, Indonesia, tahun lalu kerana sebelum ini suami menanggung kami.

“Kereta dan barang kemas terpaksa dijual untuk menampung hidup sebab kerja saya mengambil upah kutip tembakau dan menanam sayur tidak seberapa,” kata Zaitom Harun, 39.

Suaminya, Awang Pa@Ibrahim Derahman, 57, ditahan Jabatan Perikanan Indonesia pada 24 Januari tahun lalu sebelum dihantar menjalani hukuman penjara tiga tahun enam bulan di Penjara Lembaga Kemasyarakatan Lapas, Tanjung Gusta, Medan, atas dakwaan memasuki perairan negara jiran itu secara haram dan gagal membayar kompaun.

Zaitom berkata, dia sangat sedih apabila anak bongsu mereka, Nur Alis Alissa, 6, kerap menangis bertanyakan ayahnya.

“Lebih menekan hidup saya apabila pihak penjara tempat suami ditahan kerap meminta wang kononnya untuk menanggung kos lokap dan rawatan suami yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis kronik.

“Pihak penjara menyatakan suami saya akan dihantar ke ruangan tahanan lebih teruk jika tidak membuat bayaran RM2,000. Itu belum lagi wang RM400 sebulan untuk perbelanjaan suami.

“Ketika dia ditahan penjara di Rutan, Belawan sebelum dipindahkan ke Medan, lebih RM10,000 sudah dihantar kepada pihak terbabit. Saya berharap semoga kesusahan yang saya tanggung ini berakhir kepulangan suami ke tanah air,” katanya.

Dia yang hadir di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno semalam untuk meminta bantuan biro itu menyatakan hidupnya bagai mendapat semangat baru apabila pihak biro berkenaan bersedia membuat rayuan supaya suami dibebaskan lebih cepat.

Dia tiba dari Bachok, Kelantan, membawa Nur Alis dan ditemani ibu, Mariam Dollah, 56, dan adiknya Zulkifli serta seorang anak saudara.

Zaitom mendakwa suaminya itu ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 24 Januari tahun lalu ketika menangkap ikan berhampiran perairan Pantai Remis, Perak.

Menurutnya, Awang Pa ditahan bersama-sama anak lelaki mereka, Muhamad Azlan, 20, adik iparnya, Mohd Kamal, 22 dan seorang rakan yang dikenali sebagai Jais dari Bagan Serai, Perak, namun ketiga-tiga mereka dibebaskan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya bercadang untuk bertemu Ketua Penjara Lembaga Kemasyarakatan Lapas, Tanjung Gusta, Medan, Samuel Purba SH untuk merayu memendekkan hukuman Awang Pa.

Katanya, tarikh cadangan untuk ke Medan adalah pada 13 dan 14 Disember ini.

“Tempoh sebenar pembebasan Awang Pa pada Ogos 2012. Kes pendakwaan ini seperti tak sempurna kerana hanya Awang Pa saja dipenjarakan sedangkan awak-awak dibebaskan.

“Satu testimoni atau kenyataan bersumpah ketiga-tiga yang dibebaskan itu akan diserahkan kepada Samuel kelak. Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Norlin Othman dan Wisma Putra sudah menyatakan kesediaan untuk membantu dalam proses membebaskan Awang Pa,” katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular