MOHD. SAFEE (kiri) dan Amar Rohidan menunjukkan Piala Suzuki AFF 2010 di dalam bas kepada peminat di KLIA, Sepang semalam.
SEPANG - Suasana di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini umpama pesta petang semalam apabila lebih 3,000 peminat menyambut ketibaan skuad bola sepak Malaysia yang membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.
Mereka sudah berkumpul di situ sejak pukul 2 petang dan tidak berganjak walaupun menyedari jadual ketibaan pesawat Penerbangan Malaysia MH710 yang membawa pulang skuad negara ditunda sejam.
Nyanyian dan laungan kata-kata semangat 'Malaysia Boleh' bergemuruh di kawasan itu sehingga menarik perhatian ramai pelancong asing yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama para penyokong Malaysia.
Biarpun jumlah yang hadir ramai, para peminat yang kebanyakannya ahli kelab 'Ultras Malaya' tetap berhimpun dengan aman dan memudahkan tugas kira-kira 50 anggota pasukan keselamatan yang membuat kawalan di situ.
Selepas hampir dua jam menunggu, mereka akhirnya bersorak melihat kemunculan skuad negara bersama jurulatih, K. Rajagobal yang berjalan keluar dari balai ketibaan KLIA.