KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan Sempena Tahun Baru Masehi 2011 yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
BANDAR SERI BEGAWAN:--- Negara Brunei Darussalam melakar satu lagi sejarah penting dalam sektor monetari dan kewangan negara berikutan dengan penubuhan sebuah organisasi yang dipanggil Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).
AMBD yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2011 ini bertujuan bagi memastikan sektor monetari dan kewangan negara berfungsi dengan stabil dan teratur.
Perkara ini dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Titah Perutusan Sempena Awal Tahun Baru Masihi 2011 yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei ke seluruh negara malam tadi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, ini termasuk mengekal dan meneruskan Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, yang dilihat sebagai banyak mendatangkan kemanfaatan kepada kedua-kedua buah negara.
Baginda seterusnya bertitah berharap agar usaha-usaha dapat diteruskan lagi untuk merealisasikan visi kita menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam, setanding dengan pusat-pusat kewangan Islam terkemuka di dunia.
Menurut baginda lagi, ini adalah salah satu perancangan pembangunan jangka panjang, tatacara untuk memenuhi keperluan orang ramai dan kemudahan pelaburan, demi kesejahteraan dan kestabilan negara.