PEMANGKU Pengawai Daerah Temburong, Haji Haris bin Othman yang juga selaku Pengerusi Tabung Bantuan Jabatan Daerah Temburong menerima hasil kutipan Walkaton Amal dari Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Sezaly bin Haji Timbang.
TEMBURONG:--- Jawatankuasa Walkaton Amal Bertaja Bagi Kutipan Derma Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Merapi dan Mentawai anjuran Jabatan Daerah Temburong (JDT) dengan Kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Temburong berjaya mengutip sejumlah BND3575.14.
Hasil kutipan tersebut disampaikan oleh Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Sezaly bin Haji Timbang kepada Pemangku Pengawai Daerah Temburong, Awang Haji Haris bin Othman yang juga selaku Pengerusi Tabung Bantuan JDT bertempat di Kompleks Bumiputera, Pekan Bangar.
Penyerahan kutipan tabung tersebut disampaikan selepas selesainya Walkaton Amal yang disertai oleh penghulu-penghulu mukim dan ketua kampung, ketua-ketua cawangan, para pegawai dan kakitangan JDT serta orang ramai.
Walkaton sejauh 2.5 kilometer, yang melalui persekitaran Pekan Bangar itu bermula dengan senamrobik dan seterusnya upacara menderma, didahului oleh Awang Haji Haris.
Walkaton Amal bertujuan untuk mengutip derma bagi membantu mangsa-mangsa bencana Merapi dan Mentawai yang sangat memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan yang mereka alami.