Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Halimah Yacob (memukul gong), merasmikan peringkat kelayakan Pertandingan Dikir Barat Singapura 2011 yang berlangsung di Dewan Kelab Masyarakat Bukit Batok East baru-baru ini
SINGAPURA:-- DARIPADA 19 penyertaan dalam Pertandingan Dikir Barat Singapura 2011, hanya 10 kumpulan sahaja terpilih ke peringkat akhir pada 27 Februari ini.
Pertandingan itu akan dimulakan pada 4 petang di Dewan Konvensyen Politeknik Singapura di Dover Road.
Tema persembahan setiap kumpulan ialah 'Puncak - Membina Masyarakat Cemerlang'.
Peringkat kelayakan yang diadakan di Dewan Kelab Masyarakat Bukit Batok East barubaru ini, menarik ramai penonton, khususnya penyokong-penyokong kumpulan yang mengambil bahagian dan penduduk setempat.
Turut hadir dan merasmikan majlis itu ialah tetamu terhormat, Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Halimah Yacob. Beliau diiringi pemimpin akar umbi kawasan undi tersebut.
Dalam ucapannya, Cik Halimah menyarankan supaya mutu persembahan seni dikir barat ini dipertingkat dengan mempelbagaikan mesej dalam persembahan nyanyian. Beliau juga menyeru agar tumpuan sepenuhnya diberikan kepada kegiatan ini.
Ini supaya ia menjadi satu cabang seni yang dapat menarik minat ramai, khususnya golongan belia, sebagai satu wadah seni untuk masyarakat.
'Saya turut mengikuti perkembangan dikir barat sejak zaman remaja dan berasakan ia memberi manfaat kepada para belia khususnya. Selain mengembangkan kesenian, ia juga merupakan suatu kegiatan sihat,' ujarnya.
Kumpulan-kumpulan yang bakal bersaing pada peringkat akhir nanti terdiri daripada Kelana Purba, D2, Waniteni, Makyong Kedek, Krakatoa, Wulan, Dang Anom, Andika, Langgam Sukma Merah dan Budaya Bangsar.
Acara ini julung-julung kali diadakan oleh gabungan tenaga melibatkan anggota Jawantakuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) kelab masyarakat daripada GRC Jurong.
Penyelaras projek yang mewakili Kelab Masyarakat Bukit Batok East, Encik Md Zain Handair, puas hati dengan sokongan dan sambutan daripada kumpulan-kumpulan kelab masyarakat di Singapura, termasuk badanbadan kesenian setempat.
'Saya berharap ia menjadi perangsang dan pembuka semangat kerjasama sepadu bagi menganjurkan kegiatan seni seperti dikir barat dan lain-lain lagi demi bergiat cergas dan memartabatkan kesenian kita,' ujarnya.