Rumah mangsa hangus dalam kebakaran di Kampung Paya Dalam, semalam. Gambar kecil Jofri yang sedih selepas kejadian itu
SEGAMAT: Tidak cukup ditimpa musibah dengan rumah ditenggelami banjir sedalam 0.4 meter, kediaman seorang lelaki musnah dalam kebakaran Kampung Paya Dalam di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Kejadian malang itu menimpa Jofri Md Dol, 40, apabila rumahnya terbakar dipercayai berpunca daripada api lilin selepas bekalan elektrik ke kediamannya itu diputuskan atas faktor keselamatan.
Lebih tragik, jentera pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba tidak jauh dari rumah mangsa tidak dapat memberikan bantuan kerana tersekat air banjir menyebabkan rumah Jofri musnah.
“Walaupun cuba memadamkan api menggunakan air banjir namun kediaman yang berusia 60 tahun ini tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Jofri tidur seorang diri bagi mengawal keselamatan rumah yang dinaiki air manakala bapa, Md Dol Abu Bakar, 84, dan ibu, Kuntum Limat, 66, berada di pusat penempatan sementara mangsa banjir di Balai Raya Kampung Paya Dalam.
Ibu bapanya dipindahkan ke sana berikutan banjir menenggelamkan kediaman mereka sejak tiga hari lalu.
“Saya terjaga selepas terdengar bunyi objek terbakar dan terkejut mendapati api marak di ruang tamu, saya cuba memadamkannya menggunakan air banjir tetapi api semakin menjulang.
“Saya bergegas ke pusat penempatan sementara yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah dan memaklumkan kepada ibu bapa serta jiran,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Jofri, apabila mereka kembali, api hampir memusnahkan rumah walaupun ketika hujan renyai manakala pasukan bomba yang tiba kira-kira 10 minit kemudian gagal memberi bantuan kerana jentera gagal memasuki lokasi disebabkan jalan ditenggelami air.
Jofri berkata, kebakaran bukan berpunca daripada litar pintas tetapi berkemungkinan akibat lilin yang dipasang di ruang tamu.
“Saya memasang lilin berikutan bekalan tenaga elektrik dipotong Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bimbang ada penduduk terkena renjatan elektrik akibat banjir.
“Lilin dipasang kerana saya bimbang dengan ancaman haiwan berbisa ular dan kala jengking,” katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM60,000 akibat kebakaran itu,” katanya.
Menurut Jofri, jika banjir surut sekalipun, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara sementara menunggu rumah baru siap dibina.