
SINGAPURA:--- PERSATUAN Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) mahu supaya lima dasar negara diubah bagi membantu kadar kesuburan menyeluruh (TFR) yang mencapai paras terendah tahun lalu.
Persatuan itu mahu supaya kaum bapa diberikan cuti paterniti selama dua minggu.
Ia juga menyarankan supaya bulan terakhir cuti bersalin diubah menjadi cuti ibu bapa.
Aware membuat saranan itu setelah kadar kesuburan di sini terus menjunam dengan anggaran awal menunjukkan ia kini di paras terendah - 1.16 kelahiran bagi setiap pasangan sepanjang tahun lalu, berbanding 1.22 pada 2009.
Menurut Aware, saranannya itu dibentangkan selepas mereka membuat kajian melibatkan 1,000 ibu bapa yang bekerja.
Tinjauan itu dijalankan pelajar Politeknik Ngee Ann antara Oktober 2010 dengan Januari 2011.
Sembilan daripada setiap 10 responden menyokong diperkenalkan cuti paterniti, sementara lebih separuh mahu diberi pilihan untuk mengubah sehingga sebulan cuti bersalin daripada ibu kepada bapa.
Dapatan Aware antara lain menunjukkan bahawa enam daripada 10 responden mahu supaya cuti bersalin selama empat minggu dipindahkan daripada ibu kepada bapa.
Sembilan daripada 10 responden itu juga berpendapat bahawa ibu bapa tunggal dan yang belum berumah tangga diberi manfaat seperti yang dinikmati oleh ibu bapa yang lain.
Aware berkata dua faktor penting yang berupaya mengubah kadar kesuburan ialah sokongan yang lebih baik bagi tanggungjawab keibubapaan dan dasar-dasar yang menggalak kesaksamaan jantina.
Persatuan itu berpendapat bahawa dasar-dasar cuti keibubapaan sekarang di mana ibu diberi cuti bersalin selama empat bulan dan bapa tidak diberi sebarang cuti menguatkan lagi tanggapan bahawa wanita ialah pengasuh sementara kaum lelaki ialah pencari nafkah.
Aware berkata dasar-dasar sekarang perlu diubah sekiranya Singapura mahu meningkatkan kadar kesuburan.
