Skim-skim tipu helah mene rusi e-mel dan telefon dipercayai berasal daripada sindiket-sindiket luar negara.
SINGAPURA:-- APABILA menerima e-mel bahawa seorang lelaki tua ingin mendermakan harta pusakanya, beliau serta-merta mengesyaki bahawa ia merupakan satu skim tipu helah.
Pada keesokan harinya, Cik Halimah Juffri, 53 tahun, menerima satu lagi e-mel memaklumkan bahawa lelaki itu baru sahaja meninggal dunia.
Sekali lagi, Cik Halimah tidak termakan dengan tipu helah tersebut tetapi beliau risau jika ada orang terdesak yang mungkin terjerat dengan e-mel bersiri seperti itu.
Ternyata, skim-skim tipu helah menerusi e-mel dan telefon yang dipercayai berasal dari sindiket-sindiket luar negara kini timbul dalam pelbagai bentuk, sedang polis baru-baru ini memberi amaran bahawa jumlah wang yang telah ditipu semakin meningkat.
Pelbagai taktik telah timbul dengan sindiket-sindiket tersebut kini menawarkan 'hadiah loteri' atau 'cabutan bertuah', selain helah peninggalan harta pusaka yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Cik Halimah, mendakwa beliau menerima dua e-mel berasingan yang menawarkan lebih AS$15 juta ($19.12 juta) awal Januari ini.
E-mel pertama diterima kononnya daripada seorang lelaki tua yang berpenyakit barah bernama Encik Graham N. Robert, 69 tahun, yang ingin mendermakan harta peninggalannya sejumlah AS$5.56 juta kepada Cik Halimah.
Ia dihantar melalui seseorang yang bernama Raazia Waseem dengan alamat e-mel raazia@lums.edu.pk.
Ditulis dalam e-mel itu, lelaki tua berkenaan tidak mempunyai waris dan memohon si penerima memanfaatkan wang itu untuk menolong golongan susah 'daripada ia jatuh ke tangan saudara-mara isteri saya yang akan menggunakan wang tersebut secara tidak elok'.
'Sebaik saya terima e-mel itu, saya fikir mustahil orang nak beri duit sebegitu banyak, jadi saya tidak endahkannya.
'Yang pelik, esoknya, saya terima satu lagi e-mel yang menyatakan lelaki itu baru meninggal dunia dan meminta saya supaya menghubungi peguamnya,' kata Cik Halimah, seorang pentadbir projek di sebuah syarikat minyak dan gas.
Helah 'harta peninggalan' seperti ini pernah dilaporkan BH pada 2009. E-mel helah-helah serupa turut disebarkan dalam bahasa Melayu, seolah-olah ingin menyasarkan kepada masyarakat Melayu.
Kini, timbul juga helah menang loteri atau hadiah geran tunai yang disebarkan melalui e-mel dan telefon.
Cik Halimah turut menerima satu lagi e-mel kononnya beliau telah dipilih antara beberapa penerima di serata dunia untuk menerima hadiah geran tunai AS$5 juta.
E-mel itu pula dihantar oleh sebuah pertubuhan bernama 'Triodos Foundation UK' yang beralamat 'Brunel House 11 The Promenade Bristol BS8 3NN', kononnya sempena ulang tahun badan tersebut yang ke-15.
E-mel tersebut juga meminta Cik Halimah mengisi borang dengan butir-butir termasuk alamat, nombor telefon kepada sesebuah alamat e-mel 'pengurus kewangan' mereka di Afrika.
'Tak tahulah bagaimana mereka mendapat alamat e-mel saya. Saya tak jawab e-mel itu juga kerana saya syaki mesti mereka minta saya bayar wang pendahuluan dulu,'kata ibu seorang anak itu.
Ternyata, kebanyakan skim tipu ini termasuk melalui telefon, meminta 'wang pendahuluan' sebelum memberi hadiah sepenuhnya (lihat kisah di kanan).
Baru-baru ini, polis menggariskan tipu helah sebagai antara 'jenayah keprihatinan' tahun ini, dengan jumlah wang yang ditipu naik kepada $4 juta tahun lalu, berbanding $3 juta pada 2009.
'Kini, kami bekerjasama lebih rapat dengan agensi-agensi penghantaran wang, dan sebab itulah kami dapat menghentikan sebelum wang itu dipindahkan.
'Tetapi kalau duit itu sudah dihantar ke luar negara, memang susah untuk dikembalikannya,' kata Penolong Pesuruhjaya, Cik Ng Guat Ting, Pengarah Jabatan Ehwal Awam.