KUALA LUMPUR – Akhbar harian The Star perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana menyiarkan artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir, kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.
Beliau berkata, tindakan akhbar itu berbuat begitu memperlihatkan sikap mereka yang tidak sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadab.
"Saya amat mengecam keras tindakan akhbar itu yang memuatkan gambar daging khinzir dalam sisipan seksyen makanan dengan muka depannya diberi tajuk ”Ramadan Delights”,” katanya di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan mengenai perkara tersebut kerana ia bagai mempersendakan umat Islam dan ibadah puasa.
Beliau berkata, setiap pihak harus sentiasa prihatin perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini serta majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
