Dari kiri, Dr Tony Tan, Dr Tan Cheng Bock, Encik Tan Kin Lian, Encik Tan Jee Say dan Encik Andrew Kuan
SINGAPURA - HARI mengundi bagi rakyat memilih Presiden baru Singapura ditetapkan pada Sabtu, 27 Ogos ini.
Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semalam mengeluarkan writ yang mengumumkan tarikh Rabu, 17 Ogos, sebagai hari penamaan calon.
Ini bermakna terdapat tempoh minimum sembilan hari berkempen, tidak termasuk Hari Bertenang sehari sebelum hari mengundi.
Tempat yang ditetapkan bagi pencalonan adalah di Persatuan Rakyat (PA), di 9 King George's Avenue.
Menyusuli writ yang dikeluarkan itu mereka yang berminat untuk bertanding perlu mengemukakan permohonan bagi Sijil Kelayakan dalam tempoh tiga hari, sehingga Sabtu ini.
Sejauh ini, empat individu yang melahirkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden kali ini telahpun berbuat demikian.
Mereka ialah mantan timbalan perdana menteri, Dr Tony Tan, 71 tahun; mantan Anggota Parlimen (AP) PAP bagi Ayer Rajah, Dr Tan Cheng Bock, 71 tahun; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income, Encik Tan Kin Lian, 63 tahun; dan mantan Setiausaha Peribadi Menteri Kanan Emeritus Encik Goh Chok Tong, Encik Tan Jee Say, 57 tahun.
Sementara individu kelima, mantan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan JTC Corporation, Encik Andrew Kuan, 57 tahun, telah membayangkan hasratnya untuk menghantar borang itu esok.
Jika kelima-limanya berhasil mendapatkan Sijil Kelayakan, ini bermakna buat pertama kalinya sejak Ogos 1993, rakyat Singapura bakal menyaksikan satu pertandingan lima penjuru bagi Presiden Ketujuh negara.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam menyatakan borang pencalonan boleh didapatkan dari pejabat Pegawai Pilihan Raya di Jabatan Pilihan Raya di Prinsep Link pada waktu pejabat sehingga hari penamaan calon.
Wang deposit yang perlu dibayar oleh setiap calon ialah $48,000.
Selain daripada borang pencalonan dan Sijil Kelayakan, setiap calon perlu mendapatkan Sijil Derma Politik yang dikeluarkan oleh Pendaftar Derma Politik.
Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden, yang dipengerusikan oleh pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), Encik Eddie Teo, akan meneliti semua calon dan akan mengeluarkan sijil kepada mereka yang dianggap layak dan dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Antara lain, seseorang calon perlu mempunyai kewibawaan, perwatakan dan reputasi yang baik, di samping berpengalaman dan berkebolehan mentadbir dan mengurus ehwal kewangan.
Presiden S R Nathan akan mengakhiri penggal keduanya sebagai Presiden pada 31 Ogos ini dan berundur diri setelah dua kali menang tanpa bertanding semasa pilihan raya presiden diadakan pada 1999 dan 2005.