PUTRAJAYA - Tempoh pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang sepatutnya berakhir Ahad ini dilanjutkan seminggu ke 21 Ogos.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, keputusan itu dibuat susulan saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam kepada Jawatankuasa Pelaksana Program 6P supaya tempoh itu dilanjutkan.
"Ini berikutan sambutan berterusan daripada majikan serta pekerja dan pendatang asing tanpa izin di kaunter-kaunter pendaftaran Program 6P yang dibuka sejak 1 Ogos lalu, baik di pejabat imigresen mahupun melalui syarikat pengurus yang dilantik kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mahmood berkata kerajaan juga memutuskan bahawa setiap Pati yang mendaftar melalui syarikat pengurus perlu merujuk dan menggunakan khidmat syarikat yang sama apabila memohon untuk proses pemutihan yang akan menyusul pada pertengahan September ini.
Sehingga tamat operasi semalam, sejumlah 1,807,000 Pati dan pekerja asing sah telah direkodkan, dan daripada jumlah itu, 885,156 merupakan bagi Pendaftaran Pekerja Asing Sah.
