GHAZALI (tiga dari kiri) berbincang sesuatu dengan ibu bapa pelajar di HRPZ II di Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU – “Anak kami dalam bahaya, tolong selamatkan mereka.”Demikian rayu lebih 30 kakitangan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, yang juga ibu bapa kepada pelajar-pelajar Malaysia yang terperangkap dalam pergolakan politik di Mesir.
Kesemua mereka merayu agar kerajaan menghantar wakil dari Kedutaan Malaysia untuk memastikan keadaan anak-anak mereka selamat.
Pakar Pergigian HRPZ II, Datuk Dr. Rosli Abdul Rahman berkata, ketika dia menghubungi anaknya, Mohd. Fathur Rahman, 21, semalam, suara anaknya itu dalam keadaan terketar-ketar kerana dalam ketakutan.
Menurutnya, biar pun anaknya itu cuba meyakinkan dirinya bahawa dia dalam keadaan selamat, namun kebimbangan tetap menyelubungi anaknya yang menuntut dalam bidang perubatan itu.
“Saya tak pernah dengar suaranya terketar-ketar sebelum itu. Saya yakin, bukan sahaja anak saya tapi semua pelajar yang berada di sana juga dalam keadaan ketakutan dan saya minta kerajaan bertindak cepat.
“Dia cakap kali terakhir dapat beli bahan makanan ialah empat ekor ayam Jumaat lalu. Sekarang ini dah berapa hari duduk dalam rumah enam orang, mesti tidak cukup dan macam mana mahu beli kalau ada perintah berkurung dan rusuhan,” katanya.