Sri Alyaniz Nazri atau lebih dikenali dengan panggilan manja 'Abut', dua tahun, meninggal dunia pada 14 Oktober 2009 di hospital setelah dihentak di kepala beberapa hari sebelum itu dan menjalani dua pembedahan kemudian.
SINGAPURA:-- SEORANG lelaki berusia 30 tahun mengaku bersalah kelmarin atas dua tuduhan yang dipinda kerana menyebabkan kecederaan teruk terhadap anak perempuan temanitanya yang berusia dua tahun.
Mohd Azhar Ghapar mengaku dia menghentakkan kepalanya ke atas dahi Sri Alyaniz Nazri sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari kerana kanak-kanak itu muntah.
Bahkan, Mohd Azhar, yang menganggur, juga memijak perut Sri Alyaniz hingga tulang rusuk kanak-kanak itu patah.
Empat hari selepas itu, Sri Alyaniz meninggal dunia akibat kecederaan traumatik di otak.
Kelmarin, Hakim Daerah Lee Poh Choo menangguhkan hukuman ke atas tertuduh kepada 1 Mac ini untuk menimbangkan hujah pendakwa raya semasa menjatuhkan hukuman kelak.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Gail Wong, berkata ibu mangsa telah menjalin hubungan dengan Mohd Azhar dari awal 2008.
Pada 20 September 2009, ibu mangsa meminta tertuduh agar membantu menjaga anaknya itu kerana beliau harus bekerja giliran petang.
Mohd Azhar bersetuju dan mula menjaga Sri Alyaniz dari 23 September.
Mahkamah mendengar kelmarin bahawa pada 8 Oktober, tertuduh sedang membuat kerja rumah apabila Sri Alyaniz muntah di atas lantai ruang tamu semasa bermain basikal.
Mohd Azhar naik berang dan memicit pipi kanak-kanak itu.
Selepas mengemas rumah, dia membawa Sri Alyaniz masuk ke bilik tidur dan menghentakkan kepalanya ke bahagian kiri dahi mangsa itu.
Mangsa kemudian terjatuh di atas tilam dan menangis. Mohd Azhar kemudian memijak perutnya hingga menyebabkannya meraung kesakitan.
Apabila ibu mangsa pulang ke rumah dan melihat dahi anaknya bengkak, Mohd Azhar berkata budak itu terjatuh daripada basikalnya.
Pada malam itu, Sri Alyaniz muntah selepas diserang demam panas, kemudian muntah sekali lagi pada hari seterusnya.
Mohd Azhar kemudian menampar bahagian kiri kepala kanak-kanak itu.
Pada 10 Oktober, apabila Sri Alyaniz menyelerakkan flat yang didiami mereka ketika dia bermain, Mohd Azhar menamparnya sebanyak dua kali.
Selepas diberi ubat bagi demam panasnya itu, mangsa muntah dan tertuduh kemudian menghentakkan kepalanya ke atas dahi kanak-kanak itu sekali lagi.
'Apabila dahinya menghentak dahi mangsa, mangsa mengeluarkan bunyi 'hek'. Tertuduh kemudian menyuruhnya tidur,' kata DPP Wong.
Sekitar lima minit kemudian, tertuduh melihat mangsa menggerakkan tangan dan kakinya serta menggigit lidahnya.
Tertuduh kemudian menghubungi temanitanya, yang pulang ke rumah dan melihat anaknya sedang mengantuk dan tidak memberikan respons. Beliau juga melihat ada bengkak baru di dahi anaknya itu.
Laporan autopsi menunjukkan terdapat pelbagai lebam di kepala, dada dan bahagian perut mangsa, calar-calar di kedua-dua kakinya dan keretakan di tulang rusuk.
Mohd Azhar, yang dibela oleh Encik S.S. Dhillon, memberitahu polis bahawa dia mendera kanak-kanak itu kerana 'stres' akibat dibuang kerja serta perkara-perkara lain.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk, Mohd Azhar boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda serta sebat bagi setiap tuduhan.
Bagi kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak pula, dia boleh dihukum penjara empat tahun dan denda $4,000 bagi setiap tuduhan.