Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 6 Februari 2011

Operasi pindah pelajar tamat hari ini

SEBAHAGIAN daripada 150 pelajar Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi dari Jeddah ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Saudi Airlines gembira selepas bersama keluarga mereka. Mereka terbabit dalam Ops Piramid yang dilancarkan kerajaan Malaysia dan adalah kumpulan pertama yang berlepas dari Jeddah ke tanah air dengan pembiayaan keluarga masing-masing.



KAHERAH:-- - Operasi pemindahan 9,000 pelajar Malaysia ke Jeddah di Arab Saudi dari Mesir yang bergolak, dijadual disempurna dan ditamatkan esok.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Tajudeen Abdul Wahab berkata, setelah berjaya membawa keluar 3,000 pelajar sejak Khamis hingga semalam, pihaknya yakin dapat mencatat 3,000 pelajar lagi hari ini dan 3,000 lagi esok.

Katanya, operasi memindahkan pelajar Malaysia itu dilakukan menerusi penerbangan tanpa henti menerusi pesawat Charlie C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia dan pesawat Penerbangan Malaysia (Mas) dan AirAsia.

''Kami membawa keluar kira-kira 9,000 pelajar yang secara sukarela mahu pulang ke Malaysia.

''Kita berusaha menyelesaikan urusan penghantaran pelajar ke Jeddah menjelang tengah hari esok kecuali berlaku kelewatan penerbangan akibat masalah birokrasi," katanya.

Mohamed Tajudeen berkata, angka tersebut berbeza daripada anggaran awal berdasarkan kepada bilangan pelajar yang mendaftarkan diri untuk pulang ke Malaysia secara sukarela.

''Terdapat di kalangan pelajar yang tidak mendaftar dan dipercayai memilih untuk terus berada di Mesir, menanti sehingga keadaan kembali tenang," katanya.

Menurut beliau, sekiranya semua perancangan berjalan lancar, ia akan menjadi satu kejayaan besar dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia dari sesebuah negara.

Kata beliau, ia adalah satu kejayaan besar bagi semua pihak yang menguruskan operasi pemindahan kerana dapat menyelesaikan urusan ini dalam tempoh tiga hari.

"Hari ini kita menjangkakan proses pemindahan ini akan memuncak berikutan ada penerbangan tambahan daripada AirAsia," katanya.

Menurutnya, matlamat utama operasi tersebut ialah memindahkan pelajar Malaysia segera ke tempat selamat, berikutan kekacauan yang meluas di seluruh Mesir sekarang ini.

Beliau berkata, langkah memindahkan pelajar Malaysia ke Jeddah adalah paling terpantas mengikut bilangan pesawat yang digunakan berbanding jika membawa mereka terus ke tanah air dari Mesir.

Proses pemindahan tersebut bermula dengan para pelajar dihimpunkan di pusat-pusat penempatan khusus di sekitar Kaherah dan Iskandariah sebelum diangkut menggunakan bas ke lapangan terbang.

Di lapangan terbang, mereka ditempatkan di dalam sebuah khemah raksasa di perkarangan bangunan, sebelum diuruskan giliran dan tiket penerbangan mereka.

Sekretariat pemindahan di situ menyediakan makanan dan bantuan perubatan kepada pelajar yang menanti giliran.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay memberitahu, untuk urusan hari ini, seramai 4,300 rakyat Malaysia akan dibawa keluar dari Mesir menerusi lapangan terbang di Kaherah dan Iskandariah ke Jeddah.

"Apa yang pasti, daripada 11,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, hanya 9,000 yang memohon untuk dipindahkan ke Jeddah.

"Selebihnya mahu terus menetap di Mesir. Untuk itu, kita mengharapkan tugas-tugas membawa keluar rakyat Malaysia yang mahu ke Jeddah dapat diselesaikan hari ini," katanya.

Mengenai laporan yang menyatakan kamera dan komputer riba milik wartawan Malaysia yang membuat liputan berita di Kaherah dirampas pasukan tentera jelasnya, permasalahan tersebut telah dapat diselesaikan selepas pihaknya mengadakan rundingan bersama tentera.

"Bekalan makanan yang dibawa oleh Kelab Putera 1Malaysia untuk rakyat kita juga pernah dirampas oleh tentera di Mesir. Mereka (tentera) akan melakukan tindakan-tindakan terbabit jika dikhuatiri membawa ancaman. Nasib baik, hasil rundingan berjalan baik dan apa yang dirampas telah dikembalikan," tambahnya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular