Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 6 Februari 2011

Harga tiket penerbangan dijual lebih dua kali ganda - Alyaa Eleena




SEPANG:--- Penuntut Malaysia di Mesir yang terkandas selepas tiket penerbangan yang dibeli untuk pulang ke tanah air dibatalkan, terpaksa membeli tiket lain yang harganya dua kali ganda lebih mahal berikutan situasi yang kucar-kacir di negara itu.

Penuntut tahun pertama jurusan perubatan Universiti Alexandria, Alyaa Eleena Kamarul Izham berkata, semua harga tiket penerbangan keluar dari Mesir melambung tinggi ekoran ejen menaikkan harga.

Katanya, sebelum rusuhan berlaku di Mesir, harga tiket penerbangan pergi dan balik ke Kuala Lumpur tidak melebihi RM2,000 untuk seorang.

"Sekarang ini, tiket terpaksa dibeli menggunakan ejen dan harganya mencecah RM3,000 untuk sehala, walhal sebelum ini tiket yang saya beli untuk pergi dan balik hanya RM1,800.

"Kami memang tiada pilihan selepas penerbangan EgyptAir yang sepatutnya kami naiki pada 26 Januari dibatalkan," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Alyaa Eleena, dia bersama rakannya terpaksa pulang ke Malaysia menggunakan belanja sendiri berikutan Pelan Tindakan Evakuasi oleh kerajaan mengehadkan jumlah barang yang boleh dibawa pulang.

"Saya dan kawan memilih untuk pulang sendiri kerana pelan yang dibuat itu hanya membenarkan seorang membawa barang tidak lebih tujuh kilogram dan masalahnya kami ada banyak benda berharga yang perlu dibawa sekali," katanya.

Seorang lagi penuntut jurusan perubatan universiti sama, Siti Najwa Shamsul berkata, pengalaman berkongsi dan bersesak dalam bilik dengan orang yang tidak dikenali merupakan situasi yang tidak dapat dilupakan dalam usaha menyelamatkan diri daripada rusuhan.

"Ketika kami mahu berpatah balik akibat pembatalan penerbangan keluar dari Mesir, kami bernasib baik kerana dipelawa oleh seorang wanita warga Mesir yang langsung kami tidak kenali untuk menumpang di rumahnya.

"Dalam rumah itu sudah ada lima orang kemudian ditambah pula dengan kami yang seramai lapan orang menjadikan rumah yang hanya boleh memuatkan empat orang sesak teruk dan dalam masa yang sama bekalan air dicatu," katanya.

Dalam pada itu penuntut tahun pertama Ijazah al-Quran dan Qiraat Universiti Al-Azhar, Putra Tazreenudin Tajudin berkata, dia bersama sekumpulan penuntut Malaysia mengalami saat-saat yang cukup mencemaskan dalam perjalanan ke Kaherah apabila teksi yang dinaiki ditahan oleh sekumpulan pemuda tempatan yang bersenjata.

"Kami diarahkan untuk ke Kaherah dari tempat kami di Shubra secara berkumpulan selepas mengalami masalah komunikasi dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.

"Dalam perjalanan itu teksi kami ditahan oleh pemuda Mesir dan mereka merampas memori kad kamera dan telefon bimbit saya tanpa sebarang alasan tetapi demi keselamatan kami terpaksa biarkan," katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular