Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 6 Februari 2011

Pelajar Singapura: Keselamatan diri lebih diutama

Encik Ahmad Helmi (dua dari kiri) bersama-sama pelajar Singapura yang menuntut di Universiti Al Azhar di Kahirah. Mereka bergambar di depan Masjid Rabiatul Adawiyah pada 21 Januari lalu sebelum tercetusnya tunjuk perasaan besar-besaran di ibu negara Mesir itu.



SINGAPURA:-- KEKURANGAN wang bagi menampung kos penerbangan dan tanggapan bahawa kawasan mereka selamat bukan alasan buat para pelajar Singapura yang menuntut di Mesir - negara yang kini dalam huru-hara - untuk tidak bergegas terbang pulang ke tanah air.

Bagi mereka, keselamatan diri yang tidak dapat terjamin dalam keadaan kucar-kacir itu lebih berharga dan tidak boleh mereka perlekehkan.

Bahkan, meskipun pihak Universiti Al-Azhar - institut yang dihadiri ramai penuntut Singapura - belum memberi kepastian tentang penangguhan tarikh pembukaan semester baru yang dijadual pada 12 Februari ini, para penuntut itu mengambil keputusan pulang ke pangkuan keluarga kerana tidak mahu mengambil risiko.

'Pengalaman di Mesir merupakan detik paling sedih untuk kami semua kerana kami tidak sangka kami perlu pulang ke Singapura. Namun kami terpaksa juga pulang demi keselamatan diri kami,' kata penuntut, Encik Ahmad Helmi Mohd Hasbi, 24 tahun, yang selamat tiba dari Mesir kelmarin.

Menurut beliau, keputusan untuk pulang itu juga dirangsang oleh ribuan pelajar Malaysia - dianggarkannya sekitar 10,000 - dan pelajar Maghribi dan Indonesia yang berpusu-pusu pulang ke negara masing-masing.

'Jika yang majoriti balik, buat apa kita yang minoriti kekal di sana,' kata Encik Ahmad Helmi.

Penuntut tahun akhir bidang Usuluddin itu, yang merupakan Presiden Perhimpunan Kebajikan Mahasiswa Mesir (Perkemas), bersama-sama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Kedutaan Singapura di Kahirah dan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), membantu membawa pulang para pelajar Singapura dari Mesir itu.

Menurut Encik Ahmad Helmi, kos penerbangan kesemua pelajar Singapura - sekitar $1,700 bagi tiket ulang-alik dengan SIA - dibiayai dahulu oleh pemerintah dan mereka boleh melunaskannya kemudian.

Namun memandangkan sesetengah pelajar mungkin mengalami kepayahan untuk membayar balik, beliau berkata Perkemas merancang untuk menubuhkan dana bagi membantu kumpulan pelajar itu.

Sejauh ini 190 pelajar telah selamat pulang dari Mesir dan lima lagi dijangka tiba pagi ini.

Bagaimanapun, lapan lagi pelajar - dipercayai enam lelaki dan dua perempuan - masih berada di Kahirah.

Muis dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menasihatkan agar mereka segera meninggalkan negara itu.

Muis dan Kedutaan Singapura di Kahirah juga akan terus menjalin hubungan yang rapat dengan mereka.

Menurut Encik Ahmad Helmi, meskipun beliau yakin mereka selamat, beliau menasihatkan kelapan-lapan rakannya itu agar sering berhubung dengan Kedutaan Singapura di Kahirah kerana keadaan di Mesir yang kurang stabil itu boleh menjadi buruk.

Bagi Cik Nur Hafiza Roslee, 21 tahun, meskipun tempat tinggalnya di Nasr City, di timur Kahirah, rata-rata aman dan tidak seperti keadaan di Dataran Tahrir - sejam perjalanan dari apartmennya - beliau tidak mahu mengambil risiko jika keadaan menjadi buruk dan menimbulkan kebimbingan ibu bapanya.

'Pernah sekali ibu bapa saya telefon saya lima kali dalam sehari, mendesak agar saya pulang. Mereka bimbangkan keselamatan saya setelah melihat berita di televisyen,' kata Cik Nur Hafiza, yang merupakan antara kumpulan pelajar yang awal pulang dari Kahirah pada Rabu lalu.

Sejak seminggu lalu, ribuan warga Mesir berarak di jalan-jalan raya utama di Kahirah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansoura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak, yang sudah berkuasa selama 30 tahun, agar meletakkan jawatan.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular