Encik Abdul Wahid Yunos (kiri) dan isterinya, Cik Masnah Abdullah (kanan) menyambut ketibaan kedua-dua anak mereka, Cik Nurshilah (dua dari kiri), dan Cik Nur Syahidah (tiga dari kiri) dengan genangan air mata, ditemani adik mereka, Nur Syarafira (empat dari kiri).
SINGAPURA:-- LAWATAN beliau ke Iskandariah, Mesir, bagi menemankan isterinya yang sedang menduduki peperiksaan bertukar menjadi satu kenangan yang tidak mungkin luput daripada ingatan.
Iskandariah yang aman dan damai sebelum ini menjadi medan para penunjuk perasaan.
Pelajar tahun pertama Universiti Al-Azhar, di Kahirah, Encik Mohammed Nazim Rahuma Dulla, berkata beliau dan enam kawannya pergi ke Iskandariah kerana ingin melawat isterinya dan juga membeli bekalan makanan yang harganya rendah di sana.
'Kami bertujuh membeli tiket ulang-alik kereta api ke Iskandariah sebaik saja habis peperiksaan, kata orang kerana nak lepaskan tekanan.
'Semasa kami tiba Iskandariah keadaan begitu tenang. Kami pula memang tidak tahu-menahu tentang tunjuk perasaan itu kerana waktu itu kami sibuk membuat persiapan bagi peperiksaan.
'Tapi esoknya selepas saya mendirikan solat Jumaat, tiba-tiba ada sekumpulan orang tempatan menunjuk perasaan dan saya segera pulang ke rumah isteri saya. Kami diberitahu oleh penjaga di sana yang Iskandariah telah dikenakan perintah berkurung dari 4 petang hingga 8 pagi,' kata Encik Mohammed Nazim, pelajar jurusan usuluddin berumur 29 tahun.
Beliau dan isterinya, Cik Siti Radhiah Mohamed Arifin, 28 tahun, ditemui di Lapangan Terbang Changi semalam apabila mereka pulang dari Mesir.
Menurut beliau lagi, keadaan di Iskandariah boleh dikatakan agak tenang pada siang hari, tetapi tunjuk perasaan itu akan menjadi-jadi selepas solat isyak hingga ke dinihari.
Gara-gara perintah berkurung yang dikenakan itu, mereka kekurangan makanan tetapi tidak berani melangkah keluar dari rumah kerana bimbang akan keselamatan diri mereka.
'Bayangkan cuma saya seorang sahaja lelaki, yang lain semua perempuan, termasuk isteri saya. Jadi bila bekalan makanan makin berkurangan, kami pun pening kepala juga.
'Isteri saya menasihatkan agar jangan keluar kerana kami sendiri nampak sebuah kereta terbakar dan banduan-banduan yang lolos dari penjara membuat kacau,' ujar Encik Mohammed Nazim.
Cik Siti Radhiah berkata beliau bersyukur kerana suaminya ada di sisinya sewaktu krisis itu.
'Terus-terang saya cakap saya memang amat bersyukur suami saya membuat rancangan melawat saya di Iskandariah kerana saya rasa lebih selamat dengan adanya dia.
'Apalagi saat saya tidak dapat berkomunikasi dengan keluarga saya. Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya pada waktu tu,' ujar Cik Siti Radhiah, pelajar tahun keempat jurusan usuluddin di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah.
Pasangan suami isteri itu, yang telah dua tahun mendirikan rumah tangga, masih ingin meneruskan pelajaran mereka di sana sebaik sahaja keadaan lebih stabil dan selamat.
'Saya sudah pun berada di tahun terakhir dan tinggal satu lagi peperiksaan, jadi sudah tentu saya ingin menghabiskan pengajian saya di sana,' kata Cik Siti Radhiah.