JAMIL KHIR beramah mesra dengan sebahagian pelajar Malaysia di Pusat Transit Haji, Madinatul Hujjaj, Jeddah semalam.
PUTRAJAYA: Kesukaran dan kepayahan dihadapi penuntut di Mesir berikutan rusuhan rakyat di negara terbabit terus diberi perhatian apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menawarkan penginapan transit percuma sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, sebelum pulang ke tempat masing-masing.
Bukan itu saja, penuntut yang mengalami masalah kewangan bagi mendapatkan tiket bas atau penerbangan pulang ke kampung akan diberikan bantuan kewangan bagi meneruskan perjalanan mereka.
Jakim akan membuka kaunter di Balai Ketibaan di KLIA dan di Terminal Tambang Murah (LCCT) bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, penuntut bakal ditempatkan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bandar Baru Bangi yang mampu menampung 400 penghuni pada satu-satu masa. “Bukan itu saja, Jakim juga akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membawa penuntut dari KLIA atau LCCT ke ILIM dan mereka hanya perlu mendaftar di kaunter yang disediakan.
“Kami menawarkan ILIM sebagai lokasi penginapan sementara untuk penuntut melepaskan keletihan sebelum meneruskan perjalanan ke kampung masing-masing selain berhampiran dengan hentian bas ekspres di Kajang yang hanya 15 minit perjalanan dari institut berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya, penuntut atau ibu bapa juga boleh menjadikan ILIM sebagai tempat pertemuan sebelum pulang ke kampung masing-masing.
Menurutnya, tawaran itu dibuat kerana menjangkakan lebih ramai penuntut dan rakyat Malaysia di Mesir tiba dari Jeddah dalam tempoh beberapa hari ini.
“Selain penginapan, makanan juga disediakan dan semuanya diberikan secara percuma dalam usaha kerajaan meringankan keresahan dan kepayahan keluarga penuntut berkenaan.
“Bantuan kewangan bagi membeli tiket juga disediakan kepada penuntut yang benar-benar memerlukan dan bantuan itu akan disalurkan melalui peruntukan zakat Ibnu Sabil dari Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya.
Oleh itu, katanya, bagi ibu bapa dan penuntut yang ingin membuat tempahan bagi mendapatkan penginapan boleh menghubungi Timbalan Pengarah Bahagian Pentadbiran ILIM, Shafini Shamsuddin di talian 016-2947427 atau Penyelia Asrama ILIM, Siti Aisyah Mohd Nor di talian 017-2556038.