IMBAS: Keluarga NORZULIYANI (dua dari kanan) bersama anak-anaknya, Intan Anatasya (tiga dari kanan), Hendri Febian (kiri) dan Firman Anadi (kanan) dipeluk oleh ibu bapanya, Alias dan Norhayati Abas di Kuala Lumpur, setelah pulang dari Lombok, tidak berapa lama dahulu.
MELAKA: “Aidilfitri kali ini lebih istimewa buat saya sekeluarga apabila menyambut di kampung halaman bersama emak dan keluarga,” kata ibu tiga anak yang terkandas di Lombok, Indonesia bersama suami dan anaknya sejak 10 tahun lalu.
Sanisah Abu Bakar, 37, yang berkahwin dengan lelaki Lombok, Widodo Chinasin, 39, pada 1995 di Kuala Linggi, terpaksa tinggal di kampung halaman suaminya bersama tiga anak mereka selepas tidak mampu membiayai kos pengangkutan pulang ke Malaysia pada 2002.
Katanya, ketika itu, dia dan suami bersama tiga anak, Nurshahada, 14 Nurizwan, 12, dan Nurakma Najwa, 10, ke Lombok untuk menziarahi keluarga mentuanya yang dilaporkan sakit di Desa Rempek.
“Selepas seminggu di sana kami terkandas kerana tidak cukup wang untuk pulang. Pada awalnya ketika ke Lombok kos pengangkutan ke sana kami tanggung sendiri dan mentua berjanji membiayai kos perjalanan pulang, namun sebaliknya berlaku. “Selepas beberapa tahun tinggal di rumah mentua, saya terputus hubungan dengan keluarga di sini. Kami dapat berhubung kembali selepas seorang rakan dari Lombok berhijrah ke Malaysia. Saya kirimkan surat dan nombor telefon kepadanya untuk dihantar kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Lapangan Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini, semalam.
Sanisah bersama keluarganya dibawa pulang dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) diketuai Naib Naib Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin, selepas kisahnya dilaporkan Harian Metro beberapa kali sejak 2008.
