Encik Lee Hsien Loon.
SINGAPURA - PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dijangka menyentuh isu-isu yang diketengahkan semasa pilihan raya umum yang lalu dan langkah-langkah yang bakal diambil pemerintah untuk menanganinya, ketika beliau berucap dalam Rapat Hari Kebangsaan malam ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Encik Lee, Encik Chen Hwai Liang, isu-isu seperti perumahan, pendidikan dan pekerjaan akan dibincangkan semasa ucapan tersebut.
'Encik Lee akan berucap mengenai rancangan untuk memperbaiki jaringan keselamatan sosial dan juga bagaimana individu dan masyarakat boleh melibatkan diri dengan lebih aktif lagi untuk membina Singapura yang lebih baik,' kata Encik Chen dalam satu kenyataan semalam.
Ucapan Encik Lee dalam Rapat Hari Kebangsaan akan disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen television dan radio MediaCorp malam ini.
Siaran rapat itu akan bermula pada 6.45 petang. Ucapan Encik Lee akan dibahagikan kepada dua bahagian. Dalam bahagian pertama, Encik Lee akan berucap dalam bahasa Melayu dan Mandarin, dan akan disiarkan antara 6.45 malam dengan 7.30 malam.
Encik Ahmad Syakir Sa'adon, seorang pegawai perkhidmatan pelanggan, berharap Encik Lee akan mendedahkan beberapa khabar baik dalam ucapannya malam ini.
Ayah seorang anak perempuan dua tahun itu berkata, beliau berharap pemerintah dapat membantu ibu bapa muda sepertinya mengharungi masa depan dengan memberi lebih banyak bantuan.
Encik Ahmad, 32 tahun, juga berharap kos pengangkutan awam turut boleh dikawal kerana ia semakin meningkat.
'Kini harga makanan juga meningkat dan mungkin pemerintah boleh menangani masalah ini. Saya juga harap pemerintah dapat meningkatkan hari cuti bersalin bagi kaum bapa supaya kami boleh meluangkan sedikit lagi masa dengan anak kami,' katanya.
