SEORANG penduduk, Aniza Razali, 38, terpaksa mencuci pakaian menggunakan air banjir di hadapan rumahnya di Taman Sri Gunung, Sungai Baru, Alor Setar, 5 Nov. Keadaan banjir di Kedah semakin buruk dengan jumlah mangsa dipindahkan melebihi 30,000 orang.KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Perlis dan Kedah terutama di Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar dan Pulau Langkawi dijangka berterusan sehingga malam ini.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan itu dijangka tidak akan memburukkan keadaan banjir di kedua-dua negeri terbabit.
Angin kencang timur laut selaju 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang kini melanda perairan Condore, Reef North dan Pulau Layang-Layang pula dijangka berterusan sehingga Sabtu.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab menasihati orang ramai terutama di negeri yang dilanda banjir supaya sentiasa mengikuti siaran amaran yang dikeluarkan menerusi radio dan televisyen.
"Orang ramai juga perlu mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh agensi tindak balas bencana. Apabila dikeluarkan arahan berpindah, golongan yang berisiko tinggi seperti Orang Kelainan Upaya, warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak akan diberi keutamaan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak 160 pusat pemindahan dibuka di Kedah, Perlis dan Kelantan sejak awal minggu ini bagi menempatkan mangsa banjir di tiga negeri terbabit.
"Dua puluh empat pusat telah ditutup apabila keadaan banjir di beberapa kawasan semakin pulih dan mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Kedah adalah negeri yang kini teruk dilanda banjir dan sehingga kini seramai 39,512 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri itu.
Mengenai persiapan keseluruhan dalam menghadapi banjir, Mohamed Thajudeen berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengenalpasti 5,124 pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh memuatkan 1.3 juta orang bagi menghadapi banjir tahun ini.
Beliau berkata, JKM juga melalui Rancangan Malaysia Kesembilan telah membangunkan lima Depot Simpanan Keperluan Bencana iaitu di Bedong, Kedah; Muar, Johor; Kemumin, Kelantan; Marang, Terengganu dan Sungai Buloh, Selangor bagi menempatkan barang-barang bantuan bencana. - BERNAMA
