Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Isnin, 25 April 2011

Akibat siput sedut .. sekeluarga sesat..




PONTIAN: “Kami bagaikan terpukau dan mengutip siput sedut macam mengutip biji kopi kerana makin lama kami mengutip, makin banyak dapat sehingga tidak perasan berjalan sejauh 500 meter dari pantai.

“Apabila tersedar dan ingin cari jalan pulang, kami mengambil masa tiga jam cuba menyusur jalan dilalui, namun hampa.

“Hari makin gelap hingga air pasang separas bahu dan bagi menyelamatkan diri kami lima sekeluarga termasuk anak saudara berusia 11 tahun berpaut pada dahan pokok bakau selama 20 jam dan tidak tidur kerana bimbang dihanyut arus laut,” kata Faizul Ani, 29, seorang daripada lima mangsa yang sesat ketika mencari siput sedut di pantai Parit Mankuasa Benut, kelmarin.

Mereka ditemui selamat pasukan penyelamat kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, Faizul Ani bersama isteri, Juli Sahizat, 32, anak saudara, Khairul Rumi Azli, 11 dan mentua, Lompak Latorak, 50, dan Zubaidah Musa, 53, leka mengutip siput sedut di pantai.

Lima sekeluarga berkenaan dari Kampung Parit Sayang dan Taman Sri Mahkota datang menaiki van, namun kegagalan mereka pulang menyebabkan keluarga membuat laporan polis, awal pagi semalam.

Faizul ketika ditemui berkata, mereka menahan sakit kerana kaki cedera terpijak teritip dan menggigil kesejukan ditambah hujan lebat.

Selain itu, semua lima mereka lemah kerana tidak menjamah makanan sejak mula mencari siput sedut jam 1 tengah hari, kelmarin.

“Ketika sesat kami cuba menghubungi ahli keluarga tapi gagal kerana dua telefon bimbit dimasuki air dan rosak menyebabkan kami hanya berserah kepada Tuhan,” katanya.

Faizul berkata, pada mulanya mereka gembira kerana mengumpul kira-kira 20 kilogram siput sedut termasuk 40 lokan, tetapi mula gelabah apabila tidak menjumpai jalan pulang.

“Kami mengambil keputusan pulang sewaktu air masih belum pasang pada jam 6 petang tapi buntu kerana sehingga jam 8 malam masih tidak jumpa dan ketika itu air mula pasang. “Air naik hingga paras bahu menyebabkan kami panjat pokok bakau. Ketika itu kami bimbang diserang binatang buas dan berbisa kerana berada di kawasan berair selain terbayang maut bakal menjemput.

“Kira-kira jam 4 pagi saya mendengar suara menjerit sayup dari arah pantai dan membalas jeritan itu dengan harapan ada orang mencari kami.

“Bagaimanapun, selepas tiga kali menjerit, jeritan kami disahut mawas menyebabkan kami terus mendiamkan diri kerana bimbang haiwan itu menyerang,” katanya.

Katanya, sebaik air surut pada kira-kira jam 6 pagi semalam, mereka turun dari pokok dan mencari jalan pulang sebelum terdengar pekikan suara serta cuba menjejakinya sehingga ditemui pasukan penyelamat.

Sementara itu Penolong Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pontian, Atan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 8 pagi semalam dan usaha dilakukan membabitkan 10 anggota di kawasan itu hingga semua mangsa ditemui pada kira-kira jam 1 tengah hari.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular