Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Khamis, 2 Disember 2010

Malu kawan ejek hantu

Che Ku Zaimah melayan Nurul di rumah mereka.



KUALA TERENGGANU: “Bayangkan perasaan anak saya apabila kawan-kawan memanggilnya hantu. Kejadian itu menyebabkan dia menjadi semakin pasif dan enggan ke sekolah tahun depan jika wajahnya belum pulih seperti sediakala.

“Saya sangat bimbang kerana emosinya terganggu, dia baru sembilan tahun dan cuba bayangkan apabila dia semakin meningkat remaja nanti,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, ibu dua beradik yang cedera teruk di muka apabila disimbah asid oleh bapa sendiri.

Che Ku Zaimah berkata, sebelum ini, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, pernah memakai topeng ke sekolah tetapi diejek hantu menyebabkan dia membuka topeng.

“Apabila topeng dibuka wajahnya memang teruk kerana daging pipi membengkak sekali gus menyebabkan hidungnya semakin mengecil dan masih dipanggil hantu,” katanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan daging akibat simbahan asid akan membengkak dalam tempoh dua tahun dan itulah yang berlaku pada muka Nurul dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, malah bahagian belakang badannya yang terkena asid turut membonjol.

Sikap pasif dan malu kanak-kanak berkenaan terserlah kelmarin kerana ketika disapa wartawan Harian Metro di perkarangan mahkamah, dia hanya menundukkan muka dan enggan menjawab sebarang pertanyaan.

Harian Metro pada 16 Ogos lalu melaporkan seorang lelaki bertindak melempar asid hingga menyebabkan isteri, dua anak dan ibu mentuanya cedera berikutan berang dengan keputusan isteri berpindah ke rumah ibunya ketika mereka dalam proses bercerai.

Tertuduh, Mat Haizan Mat Yasin, 32, dikatakan memecah masuk ke rumah ibu mentuanya, Minah Omar, 56, dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi asid.

Tindakan tertuduh menyebabkan Nurul cedera parah di muka, manakala Muhammad Irfan juga cedera di muka.

Semalam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen kerana perbuatannya.

Terdahulu, lelaki berkenaan dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan yang dijatuhkan mahkamah sama, 25 Ogos lalu, selepas mengaku menyimbah asid ke atas Che Ku Zaimah.

Ditanya sama ada dia masih mempunyai hati kerana masih sudi menjenguk suaminya di penjara, Che Ku Zaimah berkata, lawatannya ke penjara sekadar menunaikan janji kepada Nurul yang meminta untuk melihat ayahnya ketika dia masih terbaring di katil hospital.

“Saya hanya tunaikan janji, tak lebih daripada itu kerana sebagai manusia biasa saya boleh memaafkan kesalahannya tetapi yang lain biar dia dengan Tuhan...hanya Allah yang dapat memaafkan kesalahannya.

“Terus terang saya cakapkan saya sudah tiada hati untuk kembali dengannya tetapi jika anak ingin bertemu dengannya saya tidak akan menghalang kerana dia masih bapa mereka,” katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular