Seorang suspek kes culik (dalam kereta) yang ditahan di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, Melaka, Khamis lalu.
KUALA LUMPUR: Polis kini mempergiatkan usaha memburu empat penjenayah yang menculik seorang tauke kedai pajak gadai sebelum membebaskannya selepas memperoleh wang tebusan RM500,000.
Empat suspek yang mempunyai rekod jenayah berat termasuk bunuh dianggap berbahaya kerana memiliki senjata api.
Sumber berkata, empat suspek itu sebelum ini menculik seorang pengurus kedai pajak gadai berusia 40-an di Taman Melawati, Kuala Selangor pada 25 Januari lalu.
Katanya, mangsa diculik di hadapan premisnya menggunakan Proton Iswara sebelum disembunyikan di satu lokasi rahsia.
“Suspek menghubungi keluarga mangsa sebelum mengugut mereka membayar wang tebusan RM1.5 juta jika mahu mangsa dibebaskan.
“Namun, selepas berunding, kumpulan itu bersetuju mengurangkan tebusan kepada RM500,000,” katanya.
Difahamkan, suspek mengarahkan keluarga mangsa meninggalkan wang di satu lokasi ditetapkan di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan.
“Proses penyerahan wang tebusan berjalan lancar sebelum mangsa dibebaskan di kawasan berhampiran pada 26 Januari lalu.
“Sejurus mangsa dibebaskan, sepasukan anggota khas polis mula menjejaki pergerakan suspek yang dipercayai berpecah ke arah berasingan bagi mengelakkan jejak mereka dikesan polis,” katanya.
Katanya, polis menjejaki suspek berusia 30-an hingga 40-an yang bersembunyi di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana, Alor Gajah Melaka pada Khamis lalu sebelum serbuan dan tangkapan dilakukan.
“Hasil penahanan empat suspek itu, polis menemui semula sebahagian besar wang tebusan dan hasil soal siasat empat suspek dikenal pasti masih bebas,” katanya.