Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 29 Januari 2011

Siti Nurhaliza terima Anugerah Wanita Inspirasi

Siti Nurhaliza


BANDUNG:-- Penyanyi terkenal yang juga usahawan kosmetik dari Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerima Anugerah Wanita Inspirasi pada majlis Malam Anugerah Kasih anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam tadi.

Anugerah itu diberikan kepada penyanyi tersohor tersebut sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang ekonomi membabitkan usahawan-usahawan Indonesia.

Ia disampaikan oleh Menteri Negara Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak Republik Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar sempena Maybank Semi '10 Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2010 anjuran Iswami.

Turut menerima anugerah ialah Institut Teknologi Bandung dan Universiti Padjajaran, Bandung bagi Anugerah Jasa Pendidikan.

Anugerah Khas pula diberikan kepada Allahyarham Des Alwi yang secara konsisten memperjuangkan hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Iswami Indonesia, M. Saiful Hadi.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dari Indonesia dan nyanyian Siti Nurhaliza yang menggamatkan dewan kerana kesyahduan dan kelunakan suaranya.

Linda Amalia ketika berucap pada majlis itu mahukan ikatan dan persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun terus dipergiatkan dengan sokongan padu di kalangan usahawan wanita kedua-dua negara.

"Kita mahukan hubungan ini macam 'angin sejuk' dan saling menerokai bidang-bidang baru bagi menguatkan kemesraan dan jalinan keharmonian agar memberi motivasi untuk terus maju," katanya.

Sebelum itu, Siti Nurhaliza dalam ucapan ringkas sebelum mengadakan persembahan menyatakan persetujuan untuk menjadi Duta Budaya Dunia Melayu yang dicadangkan oleh M. Saiful dalam usaha mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat Melayu di rantau ini.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular