Encik Soh (kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak TKSS yang juga bekas kapten pasukan Singapura, Nazri Nasir (dua dari kanan), berharap projek gol amal sekolah itu dapat menanam nilai-nilai murni dalam diri para pemain mereka.
SINGAPURA:-- JARINGKAN gol bagi membantu golongan kurang mampu.
Itulah inisiatif unik 'gol amal' pasukan bola sepak Sekolah Menengah Tanjong Katong (TKSS).
Bagi setiap gol yang dijaringkan pemain TKSS dalam pertandingan bola sepak sekolah-sekolah tahun ini, beras bernilai $100 akan diberi kepada Kelab Masyarakat ountbatten.
Beras itu kemudian akan diagih kepada badanbadan kebajikan.
Projek yang diberi nama 'Good Goal Initiative' (Inisiatif Gol Baik) itu ditaja syarikat makanan New Moon, yang akan menyumbang beras tersebut di akhir pertandingan.
Ketika dihubungi kelmarin, guru bertanggungjawab bagi pasukan itu, Encik Roy Soh, berkata dengan memadankan minat bermain bola sepak dengan kerja amal, TKSS berharap dapat menanam semangat beramal dalam diri para pemain itu.
'Ini bukanlah kali pertama pasukan bola sepak Tanjong Katong melakukan kerja amal. Cuma kali ini saya ingin sesuatu yang berlainan.
'Apabila para pemain mendapat tahu tentang inisiatif ini, mereka berasa amat ghairah dan lebih teruja untuk menyumbatkan sebanyak gol yang boleh.
'Apatah lagi membuat kerja kemasyarakatan selaras dengan salah satu nilai sekolah kami, iaitu beramal,' kata Encik Soh, yang sudah mengajar di TKSS empat tahun.
Bagaimanapun, beliau menegaskan para pemain tidak dikenakan sebarang tekanan dan beliau tidak meletak sebarang sasaran jumlah gol yang harus dijaringkan mereka.
Pasukan divisyen C TKSS telah menyumbatkan lima gol dalam perlawanan pertamanya dalam pertandingan zon timur.
Ini bermakna pasukan itu telah menyumbang beras bernilai $500 untuk diberi kepada golongan memerlukan.
'Dari awal lagi saya telah katakan kepada para pemain supaya memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan.
'Kalau mereka dapat menyumbantkan gol, itu lebih baik. Saya juga selalu mengingatkan mereka supaya jangan berputus asa jika mereka gagal menyumbatkan sebarang gol kerana peluang tetap ada,' ujar Encik Soh.
Seorang pemain, Muhammad Ilyasa Ismail, 13 tahun, mengesahkan pasukannya tidak dikenakan sebarang tekanan supaya menyumbatkan banyak gol.
'Sebenarnya saya bangga dengan inisiatif ini kerana kami berpeluang menolong mereka yang kurang bernasib baik.
'Pasukan kami tidak rasa terterkan agar menyumbatkan gol sebab kami bermain bola kerana gemar, dan membuat kerja amal ini cuma satu bonus,' kata pemain penyerang itu.