
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Indonesia dijadual memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin ini, yang antara lain akan membawa kepada penarikan balik pembekuan penghantaran pembantu rumah dari republik itu ke negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dalam kenyataan hari ini berkata majlis menandatangani perjanjian itu dijadual berlangsung 6.30 petang di Gedung Sate Bandung, Indonesia.
MoU itu akan ditandatangani oleh Dr Subramaniam bagi pihak Malaysia manakala Indonesia oleh Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar.Dr Subramaniam juga berharap masalah kekurangan pembantu rumah di negara ini akan dapat diatasi apabila perjanjian itu ditandatangani.
