ANGGOTA polis memeriksa Toyota Innova yang mengorbankan tiga beranak dalam kemalangan di Kilometer 244.9, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Jabor kelmarin.KUANTAN - "Harapan saya untuk menjalankan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini musnah ekoran kemalangan yang meragut nyawa tiga ahli keluarga saya."
Demikian luahan Abdullah Muda, 66, bapa kepada Maliki Abdullah, 47, seorang juruteknik kilang yang maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova dipandunya terlibat dalam kemalangan pada pukul 3.15 petang di Kilometer 244.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Jabor di sini kelmarin.
Turut kehilangan nyawa dalam tragedi itu ialah anak Maliki, Nur Izzati, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Muhammad Hafiz, 6.
Isteri Maliki, Norehan Abu Bakar, 43, dan seorang lagi anak pasangan itu, Mohd. Sufian, 15, cedera parah dan mereka masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Seorang lagi anak pasangan itu, Mohd. Afzan, 18, hanya cedera ringan. Enam sekeluarga itu menetap di Shah Alam, Selangor.
Abdullah memberitahu, berikutan tragedi yang berlaku itu, dia terpaksa membatalkan ibadah korban lembu yang dirancang pada hari semalam.
"Pak cik sudah menyediakan seekor lembu untuk dijadikan korban yang dikongsi bersama dalam kalangan ahli keluarga pada hari raya ini.
"Hendak buat macam mana ia terpaksa dibatalkan kerana kemalangan ini. Bagi pak cik, ini hanyalah satu ujian dalam hidup dan kami perlu reda dengan ketentuan-Nya," kata Abdullah ketika ditemui di rumah mayat HTAA di sini kelmarin.
