
SHAH ALAM – Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Md Azar Irwan Mohd Arifin dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan meminda minit kertas siasatan terhadap tiga suspek kes dadah, tiga tahun lalu.
Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan Md Azar, 32, didapati bersalah selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes itu terhadapnya.
Md Azar didapati bersalah melakukan perbuatan itu dengan niat menyelamatkan dua dari tiga tertuduh daripada hukuman lebih berat.
Dia ditugaskan menyediakan minit arahan bagi kertas siasatan, menulis arahan di dalam kertas minit supaya Quah Guat Chin, Wong Kok Seng dan Low Teck Seng dituduh di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952, sedangkan ketiga-tiga mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 39B sama yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Md Azar melakukan perbuatan itu di Tingkat 4, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, antara jan 3.15 petang dan 5.30 petang, 12 Mac 2008.
Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.