DUA pengawai penguat kuasa KPDNKK Perak menunjukkan sebahagian daripada bebola kristal yang dirampas dari sebuah gudang di Chemor, Ipoh semalam.IPOH - Tindakan seorang pengedar cuba menyembunyikan stok bebola kristal daripada pengetahuan pihak berkuasa gagal apabila gudangnya diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Chemor di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, pasukan penguat kuasa KPNKK negeri yang diketuai Ketua Unit Operasinya, Akram Karim Mohamad Arip berjaya merampas 2,000 papan bebola kristal yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.
Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Rosli Ahmad berkata, pemilik syarikat pengedar berkenaan yang berusia 62 tahun dan 10 orang pekerjanya berada dalam gudang itu ketika diserbu.
"Biarpun pada mulanya lelaki itu tidak mengaku kewujudan stok bebola kristal dalam gudangnya namun hasil pemeriksaan menjumpai barangan terlarang itu di celah-celah timbunan stok permainan kanak-kanak dan makanan ringan," katanya.
Rosli memberitahu, pemilik syarikat pengedar itu akhirnya mengaku mengambil stok bebola kristal itu dari China untuk diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, stok bebola kristal yang sudah dipek itu disorok sementara sebelum dipasarkan semula kepada pemborong dan peniaga pokok hiasan apabila isu pengharamannya reda.
"Setiap papan yang mempunyai 24 peket bebola kristal itu dijual RM4.80 secara borong," ujarnya.
Tambahnya, pengedar produk itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.
