Perbezaan bilangan turus atau sulaman di sekeliling lengan jubah membezakan tahap kelulusan setiap graduan. Dari kiri.. PhD, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.
BANDAR SERI BEGAWAN - Bukan saja berbeza daripada yang pernah pakai oleh institusi pengajian tinggi lain di negara ini tetapi cukup mudah bagi seseorang yang melihatnya mengenali ataupun mengetahui sama ada graduan itu lulusan Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda ataupun Diploma.
Itulah yang dapat digambarkan mengenai reka bentuk "Jubah Graduan" Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi Hafl Al-Takharruj (Konvokesyen) Pertama UNISSA yang akan berlangsung pada 3 November di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bilangan turus atau sulaman di sekeliling lengan jubah graduan menjadi penanda tahap kelulusan setiap graduan iaitu tiga turus bagi PhD, dua turus bagi Ijazah Sarjana, satu turus bagi Ijazah Sarjana Muda dan tanpa turus bagi Diploma.
Bukan itu saja, hanya melalui jubah yang dipakai setiap graduan itu, orang ramai turut boleh mengenal pasti graduan itu dari fakulti mana melalui kod warna yang digunakan UNISSA pada "sabai" (kain yang diletak di sebelah kanan bahu yang lazimnya dipakai oleh para imam) bagi lelaki dan "tudung" bagi perempuan.
Jika awda nampak warna biru pada sabai atau tudung seseorang graduan itu maknanya graduan itu dari Fakulti Usuluddin, jika jingga dari Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, jika merah jambu dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, dan jika merah dari Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.
Namun warna asas sabai dan tudung ada perbezaannya iaitu hijau bagi sabai dan krim bagi tudung, namun kedua-dua warna melambangkan kemurnian ilmu yang dituntut dan keluhuran serta keikhlasan dalam menyampaikannya kepada ummah.
Pada sabai dan tudung itu, awda juga akan melihat warna ketiga yang menunjukkan program yang diambil oleh seseorang graduan itu dengan ciri warna ketiga adalah mengikut program dalam fakulti masing-masing.
Hadirin juga akan dapat melihat perbezaan songkok yang dipakai oleh para graduan lelaki melalui ukuran turus di sekeliling songkok mereka yang diperbuat daripada baldu dengan menggunakan rekaan dan pilihan motif yang bertepatan dengan ideologi Negara, Melayu Islam Beraja (MIB) itu.
Bagi lulusan PhD, turus di songkoknya berukuran lebar 4.5 sentimeter (cm), manakala bagi lulusan Ijazah Sarjana berukuran 3.5 cm, bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda berukuran 2 cm dan lulusan Diploma tanpa turus.
Warna dan corak motif tenunan pada turus songkok adalah sama dengan yang terdapat pada jubah dan hanya berbeza pada jalur songkok para graduan bagi membezakan tahap kelulusan masing-masing.
Graduan perempuan pula akan dapat dilihat memakai gandi berwarna perak yang dilorek dengan lakaran Rambai sebagai simbol pencetus ilmu kepada generasi seterusnya di samping mengekalkan ciri-ciri tradisi kebruneian, sambil dilengkapi dengan logo UNISSA melambangkan kesatuan ummah dalam mendukung visi dan misi UNISSA.
Dengan motif tenunan pada turus gandi sama dengan yang terdapat pada jubah, ia dipakaikan sebagai perhiasan bagi melengkapkan pakaian akademik graduan perempuan melambangkan keazaman srikandi Negara Islam yang berkarisma dalam turut sama menyumbang tenaga dalam melestarikan kesucian Islam.