
KUALA LUMPUR - “Pengalaman seperti ini memang ada pada peringkat awal menjadi model. Saya sendiri sewaktu masih baru dalam dunia peragaan, berdepan kes berunsurkan penipuan.
“Saya masih ingat waktu mendapat tawaran menjadi model, penganjur ketika itu hanya memberikan alamat saja. Bila sampai, saya dapati hanya ada rumah kosong, timbul perasaan takut, saya terus meninggalkan kawasan itu,” kata model terkenal, Tengku Azura, 36.
Dia yang menyertai dunia peragaan seawal usia 17 tahun berkata, apa yang dilakukan pada awal pembabitannya ialah membuat persediaan rapi termasuk memberitahu ibu bapa dan rakan terdekat mengenai hasrat menyertai bidang peragaan Dengan cara itu, katanya, kita akan yakin dengan keputusan dibuat kerana ahli keluarga akan berusaha memastikan agensi yang benar-benar menjalankan perniagaan berasaskan peragaan akan dirujuk untuk mengetengahkan bakat yang ada.
“Kita perlu cari mereka yang berpengalaman sebelum membuat keputusan selanjutnya. Pada saya, yang penting ialah maklumkan hasrat itu kepada ahli keluarga bagi mengelakkan berlakunya penipuan kerana banyak agensi mengaku mampu melahirkan model.
“Apapun, jangan terburu-buru mengikut darah muda kerana kita terdedah untuk menjadi mangsa penipuan. Siasat dulu syarikat atau individu berkenaan,”
katanya kepada wartawan. Dia mengulas laporan muka depan media semalam mengenai tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai jurugambar dan penguji bakat sebuah syarikat peragawati terkenal memperdaya 15 gadis termasuk bergambar bogel dan mengadakan hubungan seks sebagai syarat menjadi model.
Menjadikan hotel di ibu negara sebagai ‘studio’ peragaan, semua mangsa dikenali menerusi laman sosial, diarah menanggalkan pakaian sebagai proses pemeriksaan anggota badan untuk memastikan tiada kesan parut atau luka selain melakukan hubungan seks bagi melayakkan mereka menjadi model.
